“SEBELUM nak potong gaji pemain, apa kata pengurusan tertinggi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FA (Persatuan Negeri) mulakan dulu kemudian baru pemain akan ikut.”

Itu pandangan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menggesa supaya semua pihak termasuk kepemimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara mahupun negeri memulakan dulu langkah pemotongan gaji sebelum dilaksanakan ke atas pemain di Liga Malaysia (Liga M).

Serbegeth atau lebih dikenali dengan Shebby berkata, setiap pengurusan perlu menunjukkan contoh terbaik untuk diikuti pemain seperti ungkapan kepemimpinan melalui teladan.

“Saya berpendapat sebaiknya semua pengurusan bola sepak kena mulakan dulu pemotongan gaji sebelum menasihatkan pemain berunding dengan pasukan untuk mendapatkan persetujuan pemain.

“Kena mula daripada badan induk utama iaitu FAM, kemudian MFL dan seterusnya FA negeri. Tak guna suruh pemain berbincang tapi mereka sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik untuk pemain ikuti.

“Apabila masing-masing sanggup berkorban demi bola sepak, baru ia adil dan dapat menjimatkan lagi kos operasi pasukan. Jangan hanya jadikan pemain mangsa, sedangkan pengurusan tertinggi relaks di atas dan hanya biarkan pemain di bawah berkorban sendirian.

“Mulakan dulu (peringkat pengurusan) kemudian baru anak buah akan ikut sebab dah lihat contoh yang bagus,” katanya kepada Arena Metro mengulas perbalahan antara Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan FAM serta MFL.

Sebelum ini, FAM dan MFL meminta semua pasukan dan pemain duduk berbincang bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah kewangan pasukan yang tidak mampu membayar gaji pemain susulan penundaan liga ekoran wabak Covid-19.

Keputusan penangguhan itu selari dengan arahan kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada semua rakyat Malaysia sekali gus aktiviti sukan turut tidak terkecuali.

Larangan berkenaan bermula pada 16 Mac lalu dan akan berterusan selama sebulan hingga 14 April ini yang secara tidak langsung menekan kantung pasukan apabila tidak mampu menjana pendapatan melalui jualan tiket ekorann penguatkuasaan PKP.

Bagaimanapun, PFAM menentang cadangan FAM dan MFL itu apabila meminta semua pihak terutamanya majikan supaya menghormati kontrak pemain.

Jelas Shebby lagi, keengganan PFAM bekerjasama dengan pasukan bukan saja mengenai soal kontrak pemain, malah ia berpunca daripada rasa ketidakpercayaan kepada pengurusan pasukan.

“Saya rasa ini sebab kepercayaan yang pernah dikhianati. Sebelum ini segelintir pasukan ada yang tidak bayar gaji pemain, oleh kerana itu mereka tak mahu ia berulang,” katanya.

Terdahulu, JDT muncul sebagai kelab pertama dalam Liga M yang melakukan pemotongan gaji sebanyak 33% membabitkan pemain, jurulatih dan kakitangan bagi meringankan beban kelab pada waktu yang mencabar ini selain mendermakan sebahagiannya kepada Tabung Bencana Negeri Johor.