PEMAIN tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri memanfaatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membantu perniagaan sate keluarganya sepanjang Ramadan ini.

Khairil Anuar yang lebih mesra disapa Beto berkata, menyedari kekurangan kakitangan, dia mengambil peluang membantu keluarga yang sudah menjalankan perniagaan sate sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini mereka menjual sate di tiga bazar Ramadan di Ipoh, namun kini mengubah perniagaan dengan perkhidmatan penghantaran bersesuaian dengan situasi semasa ketika ini.

“Ramadan ini saya mengubah waktu bersenam di sebelah malam, jadi waktu siang saya mengambil kesempatan membantu keluarga dan membuat penghantaran sate tempahan pelanggan di sekitar kawasan Ipoh.

“Sebelum ini saya tidak dapat membantu kerana kekangan masa dengan latihan. Tapi saya tidak kekok membakar sate sebab ketika masih bersekolah dahulu saya sudah biasa membantu keluarga,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Beto berkata, selepas melakukan kerja penghantaran dia semakin menghormati tugas penghantar yang berdepan dengan pelbagai karenah dan berusaha menghantar tempahan pelanggan dengan sebaiknya tanpa mengira cuaca terutama yang menggunakan motosikal.

“Rupanya tak semudah yang kita sangka menghantar makanan dari rumah ke rumah setiap hari, kerja ini perlu banyak bersabar dan paling penting adalah ikhlas,” katanya.

Katanya lagi, walaupun berada dalam tempoh pelaksanaan PKP, itu bukan alasan untuknya tidak meneruskan latihan di rumah selain menjaga pemakanan dan kesihatan diri.

“Sekarang ini saya bersenam di sebelah malam dengan menumpukan kepada latihan fizikal bagi mengekalkan kecergasan di tahap terbaik,” katanya.

Menurutnya, dia belum sempat bermain untuk Perak musim ini dan hanya bermain satu perlawanan bersama Perak II di Manjung sebelum liga ditangguhkan susulan pandemik Covid-19 serta bersedia membantu Perak II membaiki kedudukan apabila liga dimulakan nanti.