DATUK Bandar Liverpool khuatir memulakan kembali Liga Perdana boleh mencetuskan situasi yang sukar dikawal apabila penyokong berkumpul dalam jumlah besar di luar Anfield ketika krisis koronavirus.

Ketika saingan liga ditangguhkan pada 13 Mac, pendahulu Liverpool hanya berbaki dua perlawanan untuk mengesahkan gelaran liga milik mereka.

Ketua-ketua Liga Perdana berharap dapat melengkapkan musim ini tetapi mendapat tentangan daripada pemain dan bekas pemain yang berpendapat masih terlalu awal untuk dimulakan kembali.

Perlawanan boleh dilangsungkan dalam stadium tertutup tetapi Datuk Bandar, Joe Anderson yang komennya sebelum ini dikritik Liverpool berkata, beliau tidak yakin langkah itu dapat mengelak penyokong daripada berkumpul.

Beliau mendakwa penyokong berpotensi untuk tidak menghiraukan garis panduan penjarakan sosial bagi meraikan kejayaan Liverpool meraih gelaran liga dalam tempoh 30 tahun.

“Walaupun dalam stadium tertutup, akan terdapat ribuan penyokong berkumpul di luar Anfield,” kata Anderson kepada BBC, awal pagi tadi.

“Tak ramai yang akan mematuhi garis panduan. Sudah pasti mereka datang untuk meraikannya, jadi saya fikir lebih baik tidak dimulakan lagi.”

Terdapat laporan baki 92 perlawanan Liga Perdana akan dilangsungkan di venue neutral bagi mengurangkan penyebaran virus tetapi Anderson berpendapat Anfield umpama magnet yang menarik penyokong berkumpul walaupun Liverpool beraksi di tempat lain.

Bagaimanapun, Liverpool berkata, mereka kecewa dengan komen Anderson dan mendakwa kekurangan bukti menyokong dakwaan itu.