WALAUPUN namanya kini semakin tenggelam namun kudratnya tetap masih lagi ditagih oleh pasukan bertaraf kelab yang bersaing diperingkat Liga M3.
Pernah terpilih mewakili pasukan Harimau Malaya suatu ketika dahulu namun kini pemain kelahiran Pantai Remis, Perak, Mohd Hafiz Kamal meneruskan kerjaya bersama skuad KL Rovers.
Menurutnya, selepas meninggalkan pasukan PKNP musim lalu, dia memilih haluan seterusnya untuk bersama pasukan warga kota dalam usaha meneruskan kerjaya sebagai pemain bolasepak profesional bersama barisan pemain muda.
“Saya tidak pernah merasa malu dan kecewa bermain dalam Liga M3 yang kebanyakan pasukan membariskan pemain muda yang masih cetek pengalaman, mereka memiliki semangat kuat untuk mencatat kemenangan setiap kali turun beraksi.
“Sebagai pemain senior saya turut sama menerima tempias mereka, secara tidak langsung saya perlu berusaha membuktikan kebolehan bagi mengelak menerima kritikan daripada jurulatih serta peminat setia KL Rovers,” katanya, di sini hari ini.
Dia yang pernah bersama pasukan Shahzan Muda, Pahang, Selangor dan Perak sebelum ini berkata, walaupun berstatus pemain senior namun dia tetap memiliki jiwa yang besar untuk beraksi dalam Liga Super suatu hari nanti seperti yang pernah dilalui sebelum ini.
Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia menghabiskan banyak masa di rumah sambil melakukan latihan kecergasan bagi memastikan tidak hilang rentak apabila saingan Liga M3 bermula nanti.
“Saya mengadakan latihan lebih sejam sehari, pelbagai aktiviti dilakukan bagi memastikan kecergasan saya dapat terus kekal dan tidak dimalukan pemain muda apabila liga bersambung semula.
“PKP yang memasuki fasa kedua ini turut memberi lebih ruang kepada saya berada bersama keluarga sambil membantu isteri menguruskan rumahtangga,” katanya yang berjanji membantu KL Rovers yang bercita-cita untuk melangkah saingan Liga Perdana musim depan.