PERBICARAAN legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer atas tuduhan rasuah pada Piala Dunia 2006 berakhir tanpa sebarang keputusan selepas ia ditangguhkan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.
Selepas lima tahun, perbicaraan membabitkan Beckenbauer, 74, bersama tiga lagi individu lain terpaksa ditangguhkan berikutan krisis kesihatan dan sudah tamat tempoh.
Beckenbauer, yang mengetuai jawatankuasa penganjur Piala Dunia 2006, sudah menolak pertuduhan berkenaan.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kecewa kerana perbicaraan itu tidak dapat diteruskan.
“FIFA berasa kecewa perbicaraan yang mempunyai kaitan dengan Piala Dunia 2006 Jerman tidak dapat berlangsung kerana sudah tamat tempoh.
“Kes ini berakhir tanpa sebarang keputusan sekali gus ia menimbulkan kebimbangan bukan saja kepada bola sepak tapi pentadbiran kehakiman di Switzerland,” jelas badan induk dunia itu dalam satu kenyataan.
FIFA berkata, kebenaran dalam jumlah pembayaran sebanyak 10 juta Swiss francs (RM45 juta) kepada mereka akan terungkap juga satu hari nanti.
“Bagi FIFA kes ini masih belum lagi berakhir kerana kami tidak dapat dan tidak boleh terima dakwaan bahawa pembayaran 10 juta CHF dilakukan dari akaun FIFA tanpa alasan munasabah,” jelas FIFA.
Beckenbauer membantu Jerman Barat muncul juara Piala Dunia pada 1974 dan membimbing negara berkenaan meraih kejayaan sama pada 1990.