PELBAGAI cara dilakukan atlet bagi memastikan tahap kecergasan berada dalam keadaan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19.

Bagi atlet angkat berat berpotensi negara, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri, dia menggunakan apa sahaja yang ada di sekitar rumahnya di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu termasuk mengangkat penyapu dan kepingan batu bata sebagai salah satu cara latihannya bagi menggantikan mengangkat bebanan sebenarnya.

Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu itu akui kaedah berkenaan tidak memberi kepuasan kepadanya, namun dia mengharapkan sekurang-kurangnya dapat mengekalkan kecergasan serta teknik angkatan yang betul.

Selain itu Afiqah berkata, dia juga perlu mengawal pemakanannya apatah lagi seharian berada di rumah sehingga 14 April ini dalam tempoh PKP bagi memastikan berat badannya tidak bertambah kerana dia bakal beraksi dalam kategori 49 kilogram pada temasya sukan dwitahunan itu yang bakal berlangsung di Johor.

Bagaimanapun, atlet berusia 20 tahun itu yang menduduki tempat keempat pada temasya Sukan Sea di Filipina tahun lalu akui dia kini berdepan dengan kesukaran melakukan latihan sendiri di rumah selepas fasa pertama tempoh PKP berlalu kerana tidak dipantau secara lebih dekat oleh jurulatih kerana masih dalam tempoh PKP ini.

“Berlatih sendiri di rumah susah sikit sebab tidak ada jurulatih untuk menilai, jika ada jurulatih mesti beliau akan memberi teguran kesalahan yang saya lakukan seperti mana sebelum ini.

“Macam sekarang buat latihan di rumah pagi-pagi saya ambil apa-apa sahaja yang boleh dijadikan beban seperti kayu dan gabung beberapa batang penyapu di rumah, ada kalanya angkat kepingan batu bata sebagai salah satu cara latihan.

“Lagipun sudah lebih dua minggu tidak mengangkat beban yang sebenar, jadi sedikit sebanyak saya juga bimbang prestasi bakal akan terganggu, tapi saya faham situasi semasa sekarang ini.

“Oleh itu tidak dapat tidak perlu usaha juga walau apa cara sekali pun sebab saya nak kejayaan dalam kejohanan Sukma itu nanti lagipun ini kejohanan yang terakhir buat saya kerana sudah melebihi umur selepas ini,” ujar Afiqah yang meluangkan masa kira-kira sejam sehari untuk berlatih di bawah pemantauan jarak jauh jurulatinya, Azmer A Rahman.

Sepanjang pembabitannya dalam dua pentas Sukma terdahulu, atlet bertubuh kecil itu pernah meraih pingat emas, perak dan gangsa selain pernah merangkul dua emas pada pentas kebangsaan.

“Sukma di Johor nanti sasaran saya mahu pecah rekod kebangsaan milik Fendylina Adim dari Sabah selain mengintai peluang untuk mengutip kilauan emas buat negeri selepas terkilan pada pentas Sukma edisi ke-19 di Perak 2018,” ujar Afiqah yang juga mengidam pingat emas dalam aksi Sukan Sea akan datang jika sekali lagi terpilih.