BINTANG Tottenham, Serge Aurier dan Moussa Sissoko meminta maaf selepas tidak mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan susulan wabak koronavirus.

Pertahanan Ivory Coast, Aurier memuatnaik sesi latihannya bersama rakan sepasukan Sissoko di Instagram semalam.

Pemain berusia 27 tahun itu yang memakai topeng muka kemudiannya memadamkan video terbabit yang menunjukkan dia berlari setempat dan duduk di sebelah pemain tengah Perancis, Sissoko sekali gus menyalahi garis panduan penjarakan sosial.

Spurs berkata mereka akan bercakap dengan Aurier dan Sissoko mengenai tingkah laku mereka.

Beberapa jam kemudian, mereka mengeluarkan kenyataan yang mengakui kesilapan dan berjanji memberi sumbangan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan.

“Kami sedar sebagai pemain bola sepak profesional, kami bertanggung jawab menjadi contoh terutamanya ketika waktu sukar yang dihadapi seluruh dunia,” kata mereka awal pagi tadi.

“Kami minta maaf kerana memberikan contoh tidak baik. Kami perlu mematuhi dan menghormati nasihat kerajaan bagi mengurangkan penularan virus Covis-19.

“Kami menghargai khidmat petugas NHS dan akan memberi sumbangan kepada mereka untuk menunjukkan sokongan kepada petugas hadapan ini.”

Aurier dan Sissoko menjadi individu berprofil tinggi terkini di utara London yang mengabaikan peraturan kerajaan Britain susulan pandemik.

Dua minggu lalu, pengurus, Jose Mourinho mengadakan sesi latihan di padang bersama pemain tengah Perancis, Tanguy Ndombele.

Mourinho kemudiannya meminta maaf sambil mengakui tindakannya tidak selari dengan protokol kerajaan.

Pada hari sama, dua pemain Tottenham, Ryan Sessegnon dan Davison Sanchez didapati berlari beriringan manakala Aurier turut memuatnaik video berasingan dia memanaskan badan dengan rakan.

Garis panduan kerajaan menetapkan setiap orang hanya boleh bersenam bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.