PENGASAS Persatuan Tenis Wanita (WTA), Billie Jean King menyertai Roger Federer dan Rafael Nadal sependapat bahawa sekarang adalah masanya untuk menggabungkan Persatuan Tenis Profesional (ATP) dengan jelajah tenis wanita itu di bawah satu bumbung.

Federer, yang memegang rekod kejuaraan Grand Slam lelaki sebanyak 20 kali, individu pertama memberikan pendapat berkenaan sebelum ia turut mendapat reaksi daripada King dan Nadal.

“Hanya terfikir, adalah saya seorang yang memikirkan ini adalah masa sesuai buat tenis lelaki dan wanita bergabung, seterusnya menjadi satu persatuan?.

“Saya tidak bercakap mengenai gabung kejohanan di dalam gelanggang tapi satukan dua badan induk ini dan jadikan satu,” kata Federer.

Billie, yang menjadi sebahagian mewujudkan WTA pada 1973, berkata beliau menyokong idea berkenaan.

“Saya setuju dan bercakap mengenai perkara ini sejak awal era 70-an lagi. Satu suara, wanita dan lelaki bersama sudah menjadi impian sekian lama saya kepada tenis. Biarkan ia menjadi kenyataan,” katanya.

Nadal, yang muncul juara Grand Slam 19 kali, menyokong pandangan yang diberikan musuh tradisinya itu.

“Roger seperti dibincangkan sebelum ini saya sangat setuju dengan kita memerangi krisis dunia sekarang dengan mewujudkan hanya satu badan untuk tenis lelaki dan wanita,” kata Nadal.

Federer dan Nadal berkata penggabungan itu mampu membuatkan keluarga tenis menjadi kuat ketika berdepan pandemik Covid-19 selepas Wimbledon terpaksa dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua dan Terbuka Perancis pula diubah ke hujung September.