PELUANG Dina Asher Smith untuk mencipta kejayaan di Olimpik mungkin terbantut berikutan penangguhan selama setahun temasya berkenaan.

Juara dunia 200 meter (m) adalah salah seorang daripada prospek untuk meraih emas buat Britain di Jepun tahun ini.

Bagaimanapun, Olimpik Tokyo 2020 terpaksa ditunda ke Julai tahun depan kerana pandemik Covid-19 dan pemegang rekod 400m Britain, Iwan Thomas percaya tempoh tambahan lagi 12 bulan bakal memberi kesukaran buat Asher Smith.

“Bagi sesetengah orang ia adalah perkara yang baik. Saya rasa Asher Smith berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal sekarang.

“Dia boleh lagi mempertingkatkan prestasi tapi menjadi penyandang juara dunia bakal membuatkan atlet lain gerun dengannya.

“Bagaimanapun, selepas sekian lama mungkin kegerunan itu berkurangan,” kata Thomas yang membantu kuartet 4x400m lelaki meraih perak di Atlanta 1996.