“KAMI memahami situasi semasa berkaitan Covid-19 bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia,” kata penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Baginya, bukan sahaja Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) malah Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan kelab terkemuka juga turut mengalami impak besar tanpa perlawanan, tajaan dan penjanaan pendapatan sepanjang tempoh terbabit.

“Sehubungan itu, saya juga secara ikhlas sanggup gaji dipotong seperti rakan pasukan Melaka dan barisan kejurulatihan serta pegawai dalam sama-sama memberi sedikit kelegaan kepada majikan menghadapi krisis terbabit.

“Perbincangan bersama pengurusan sudah diadakan dengan persetujuan positif dicapai, cuma peratus pemotongan masih belum diputuskan,” katanya.

Sebelum ini, FAM membuktikan kepimpinan melalui teladan apabila mengambil pendekatan memotong gaji kakitangannya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Badan induk itu yang sebelum ini membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) mengadakan perbincangan dengan pemain masing-masing bagi menyelesaikan masalah kewangan susulan krisis berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bangga dengan komitmen pemain, jurulatih dan pegawai pasukan untuk pemotongan gaji bermula bulan ini.

Menurutnya, perbincangan lanjut mengenai jumlah peratus pemotongan akan dilakukan selepas ini mengambil kira semua aspek termasuk pandangan pemain.