LETAKKAN sasaran setiap tahun antara resepi kejayaan buat atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar bergelar pemegang rekod kebangsaan acara itu.

Andre, 21, berkata dia menyasarkan untuk layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik Tokyo selepas penganjur menunda temasya itu ke tahun depan.

Kata Andre, penundaan Olimpik memberi lebih ruang kepadanya menyertai lebih banyak pertandingan selepas dimaklumkan majoriti pertandingan tahun ini akan dianjakkan ke tahun depan berikutan penularan wabak Covid-19.

“Saya mempunyai tempoh 16 bulan lagi untuk cuba melepasi syarat kelayakan ke Olimpik. Tempoh yang panjang itu membolehkan saya lebih bersedia dan saya akan cuba untuk melepasi jarak 8.22 meter (m).

“Tahun depan banyak pertandingan di luar negara, jadi saya lihat peluang ke Olimpik itu cerah.

“Apa yang perlu dibuat ketika ini adalah memperbaiki kelemahan antaranya memperbaiki teknik larian dan juga teknik ketika mendarat,” katanya.

Seorang atlet yang mempunyai lompatan konsisten, nama Andre mula melonjak selepas memecahkan rekod kebangsaan berusia 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02m untuk meraih pingat perak di Sukan SEA Filipina.

Dia hanya tewas 0.01m kepada pemenang pingat emas dari Indonesia, Sapwaturrahman.

Selain daripada lompat jauh, Andre turut beraksi dalam lompat kijang dan meraih emas ketika Sukan Malaysia (Sukma) di Perak dua tahun lalu.

Rindu untuk kembali berlatih namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, atlet kelahiran Sabah ini hanya menjalani latihan dalam dewan yang disediakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).