MEMILIKI kemahiran dan resipi sendiri dalam menyediakan stimbot, pemain Sarawak United, Mohd Fauzi Roslan menjual makanan itu dalam usaha menambah sumber pendapatan sepanjang Ramadan ini.
Mohd Fauzi atau lebih mesra sebagai Kojie bersyukur kerana mampu menyediakan stimbot antara 20 hingga 25 tempahan sehari sejak 1 Ramadan lalu.
“Saya berterima kasih kepada pelanggan yang sudi menempah ketika semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagi penduduk di sekitar Pekan, mereka sememangnya sudah biasa menikmati stimbot ini kerana saya pernah menjualnya jika mempunyai masa terluang dan jika berada di Pekan.
“Stimbot ini dikenali FZ 19 Kawan Budak Pekan kerana sinonim dengan nombor jersi dan saya sebagai orang kelahiran Pekan, Pahang,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, tiga pakej stimbot dijual iaitu pada harga RM15, RM30 dan RM50 bergantung kepada tempahan yang diterima daripada pelanggan.
Katanya, setakat ini, tempahan diterima setakat jam 11 pagi pada setiap hari kerana perlu menyediakan stimbot dan kuah.
“Penghantaran stimbot ini hanya bermula jam 3 petang hingga jam 6.30 petang di sekitar bandar Pekan dan Peramu Jaya,” katanya.
Ditanya sesi latihan sepanjang Ramadan, Mohd Fauzi berkata, rutin itu kini diubah pada waktu malam memandangkan waktu siang ditumpukan kepada jualan stimbot.
“Setakat ini, saya berpuas hati dengan corak latihan dilakukan terutama yang diberikan pasukan dalam mengekalkan stamina,” kata pemain berumur 32 tahun itu.