“SAYA tahu sakitnya berada di masa silam. Ini azam saya tahun 2020, Alhamdulillah berjaya. Bertahun saya usaha, gagal, bangun, gagal dan bangun balik,” kongsi pelakon dan pengacara, Zulin Aziz mengenai penampilan diri sekarang.

Zulin, 31, atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz berkata, semua itu tidak mustahil dicapai asal saja buang sikap malas dalam diri.

Malah, Zulin yang juga bekas penyampai radio Suria FM berkata apa yang paling panting adalah kena mencintai diri sendiri.

“Jangan bersedih. Hitam pun boleh putih, gemuk boleh kurus dan jerawat boleh hilang. Sebelum itu kita sendiri kena mencintai diri sendiri. Kalau kita selesa tak apa, kalau kita okay dan tidak pedulikan orang nak kata apa pada kita. Paling penting kita sayang diri kita dulu.

“Kita bukan tak boleh, tapi kita malas. Saya diketawakan orang. Saya ‘down’ tapi apa saya buat, saya usaha. Saya tak pernah jemu berusaha,” katanya.

Menerusi beberapa ciapan di Twitter, Zulin berkongsi pengalaman dilalui bagi memberi motivasi dan menaikkan semangat mereka yang melalui perkara sama.

Menurut Zulin, dia pernah diejek berwajah ‘makcik’ biarpun baru berusia 20-an ketika itu.

“Umur saya baru 20-an ketika itu. Saya berkawan dengan sesiapa semua orang ejek kata muka saya ‘makcik’. Apa saya buat, saya telan. Tak apa, saya bahagia saja.

“Sebab saya sayangkan diri saya, saya manjakan diri. Saya usaha macam-macam. Sekarang saya cuma kena kuat untuk terus berdiri,” katanya.

Zulin yang juga penyanyi lagu Jadikan Aku Yang Halal berkata, dia mengamalkan senaman dan penjagaan pemakanan untuk mendapatkan berat diingini.

“Kalau kira sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berat saya 70 kilogam dan sekarang sudah 58 kilogram. Saya nak turun lagi menjadi 50 kilogram. Sebab dalam TV masih nampak besar sedikit.

“Tengok depan memang kurus dan orang cakap tak perlu turunkan berat lagi. Cuma disebabkan kerjaya saya banyak di hadapan, jadi saya perlu usaha lagi. Apa saya buat adalah bersenam 20 peratus dan selebihnya menjaga pemakanan,” katanya.