PELAKON dan pengacara, Zulin Aziz mencadangkan supaya diwujudkan satu tabung khas dalam kalangan artis untuk membantu sesama sendiri, yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Zulin menulis cadangannya di Twitter dan Instagram sekali gus menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya dan kebanyakan rakan artis.

“Apa kata kita sesama artis yang berkemampuan, buat satu tabung bantuan untuk membantu sesama kita dalam industri yang mana benar-benar kehilangan pendapatan. Tak kira artis itu sendiri atau mereka yang di belakang tabir.

“Sesiapa yang nak bantuan, boleh rujuk kepada sekian sekian (persatuan),” tulisnya.

Zulin ketika dihubungi berkata, itu adalah sekadar pendapatnya untuk membantu sekaligus menjernihkan situasi di mana golongan artis, dihentam hebat oleh warganet sejak beberapa hari ini.

“Sekarang, warganet hentam artis dengan pelbagai tohmahan. Ada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan-rakan artis, mungkin disalah anggap kerana penggunaan perkataaan dan bahasa yang kurang jelas.

“Pada saya, semua orang boleh berikan pendapat, jadi saya sekadar berikan pendangan dan mana tahu sekiranya ia boleh diguna pakai untuk kebaikan kita semua,” katanya kepada Harian Metro.

Ujarnya, tujuan memberikan cadangan itu bukanlah untuk menunjukkan bahawa dia berkemampuan, tetapi untuk bersama-sama membantu sesama sendiri.

ZULIN menulis cadangan di Twitter dan Instagram. FOTO ihsan Instagram
ZULIN menulis cadangan di Twitter dan Instagram. FOTO ihsan Instagram

“Saya yakin, ramai artis kita yang berkemampuan. Saya yang tak keluar TV ini pun masih mampu bertahan dalam situasi sekarang. Jadi, saya nak ajak semua rakan artis yang mampu untuk hulurkan bantuan kepada rakan lain atau mereka yang memerlukan.

“Kalau tak banyak, dapat bantu sikit-sikit pun dah mencukupi kalau semua sudi berikan kerjasama,” katanya.

Zulin juga mengajak rakan artis yang benar-benar memerlukan bantuan supaya membuang rasa malu kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia.

“Mungkin kita ada kelebihan iaitu dikenali, tapi kita pun rakyat biasa sama seperti orang lain juga. Jadi, kenapa perlu malu untuk minta bantuan.

“Kalau perlukan bantuan, minta macam rakyat yang lain dan saya rasa, tak ada masalah untuk rakyat meminta bantuan sekiranya memerlukan,” katanya.

Tambahnya lagi, ini bukan masanya untuk mencari kesalahan atau menghakimi sesiapa, sebaliknya, pandang dari sudut positif atas situasi yang berlaku.

“Sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan sesiapa atau bergaduh. Mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya dan akan membuatkan kita lebih beringat untuk belajar menyimpan wang pada masa akan datang.

“Kita cari jalan penyelesaian dengan ke saluran-saluran yang betul. Kita ada persatuan yang menjaga kita dan boleh diwujudkan dana untuk memberi sumbangan, dan meminta sumbangan,” katanya.

Selain itu, Zulin juga mengajak rakan artis untuk mencari pendapatan sampingan dan menggunakan populariti mereka sebaik mungkin.

“Saya sendiri pun jana pendapatan sampingan menerusi YouTube dengan membuat video-video jenaka dan sebagainya. Sedikit sebanyak, ada pendapatan yang kita dapat untuk digunakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan