REZEKI itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Yang penting adalah usaha untuk mencarinya.

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara, Zulin Aziz, dia tidak mahu duduk diam dan mengharapkan rezeki itu datang bergolek. Baginya, rezeki itu perlu dicari dan diusahakan.

Salah satunya adalah menerusi platform dalam talian. Duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan ruang buat Zulin untuk mencari idea dan menghasilkan video-video lucu.

“Alhamdulillah, walaupun saya tak boleh keluar dalam tempoh PKP ini, tak menjadi masalah kerana kerja saya adalah memasak memandangkan saya mendapat kerjasama daripada pihak Maggi.

“Dari situ, saya boleh hasilkan pelbagai resipi dan saya kongsikan di media sosial seperti YouTube, Instagram dan Twitter dan dari situ, saya masih dapat menjana sedikit pendapatan,” katanya.

Bercerita lagi mengenai aktivitinya sepanjang PKP, Zulin berkata, ini masanya untuk dia menjana pendapatan di YouTube.

“Mungkin ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Menerusi video di YouTube, kita dapat menjana sedikit penghasilan.

“Saya sendiri ada menghasilkan video-video lucu dan mencuit hati dan saya kongsikan di YouTube. Ada juga yang saya kongsikan di Twitter,” katanya.

Menurutnya, dia juga ingin mengajak selebriti tanah air untuk menggunakan pengaruh mereka bagi menjana pendapatan.

“Kita ada sedikit pengaruh dan pengikut di media sosial. Jadi, tak terlalu sukar untuk kita bekerja dari rumah dan hasilkan pelbagai kandungan video menarik untuk dikongsikan.

“Yang penting, kena rajin untuk berfikir mengenai idea menarik supaya dapat menarik orang untuk menonton. Tak dapat banyak pun, sekurang-kurangnya adalah sedikit hasilnya,” katanya.

Selain itu, Zulin juga mengajak masyarakat terutama rakan-rakan artis yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP untuk berfikir mencari punca pendapatan alternatif.

“Kalau di rumah, kita boleh masak contohnya nasi lemak dan buat penghantaran makanan kepada pelanggan. Sedikit sebanyak, ia dapat membantu kita menjana pendapatan.

“Selain itu, mungkin dapat buat ulasan produk di Instagram dengan harga yang lebih rendah. Selain dapat membantu kita menjana sedikit pendapatan, secara tak langsung dapat juga kita membantu peniaga-peniaga yang perlukan promosi,” katanya.

Zulin mengharapkan supaya krisis Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dan seluruh masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kaLa.