PELAKON Zoey Rahman mengakui cemas apabila dihubungi pihak hospital semalam untuk datang menjalani ujian saringan Covid-19, hari ini.

Zoey berkata, dia serta jiran lain di kawasan perumahannya dipanggil berbuat demikian selepas salah seorang penduduk di kawasan itu dilaporkan positif Covid-19.

“Sewaktu dapat panggilan, saya mulanya ragu-ragu. Bagaimanapun, selepas dimaklumkan kes itu, memang saya cemas dan kemudian hadir menjalani ujian berkenaan kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Saya difahamkan sudah ada kes penduduk di kawasan rumah saya positif Covid-19 dan kami diisytihar sebagai kontak rapat. Sebagai langkah berhati-hati, saya dan jiran lain kena datang buat ujian berperingkat.

“Keputusan ujian hanya akan diketahui selepas beberapa hari. Dalam tempoh seminggu ini, saya tidak boleh ke mana-mana dan kena kuarantin diri,” katanya.

Pelakon drama Cik Sempurna itu bagaimanapun positif bahawa dia bebas daripada virus berkenaan disebabkan kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Mujur, saya memang tiada sebarang gejala dan tahu mengenai segala pergerakan diri sebelum ini. Saya yakin dan harap memang hasil keputusan ujian itu negatif.

“Ramai ahli keluarga juga terus menghubungi saya sebaik mendapat tahu mengenai perkara ini. Mereka nasihatkan saya supaya patuh untuk tidak keluar rumah dan menjalani kuarantin diri sepanjang tempoh itu,” katanya.

Terdahulu, Zoey turut berkongsi videonya menjalani ujian secara pandu lalu di hospital menerusi Instagram.