PELAKON, Zara Zya sebak dan tersentuh dengan ketabahan barisan hadapan yang tidak lelah berjuang memerangi wabak Covid-19 sejak dari awal penularan virus itu.

Zara Zya yang sempat meluangkan masa turun padang dan mendengar sendiri cerita mereka berkata, selayaknya pengorbanan mereka harus dihargai.

“Alhamdullilah, saya bersama pasukan Zara Prihatin, Ippo Hafiz, dan Prihatin Tanpa Sempadan (PTS) turun padang ke Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (cREaTe) yang menjadi Stesen Pusat Kuarantin Covid-19.

“Kami sempat meluangkan masa berjumpa 118 barisan hadapan yang sedang berjuang memutuskan rantaian wabak ini. Sepanjang bersama mereka, hati kecil saya sebak dan terusik melihat perjuangan mereka yang terus berjuang tanpa henti memerangi wabak ini.

“Walaupun mereka sentiasa mengukir senyuman dan disambut dengan hilai tawa sepanjang tiga jam kami berceloteh di pusat kuarantin, namun jauh di sudut hati masing-masing, mereka memendam perasaan rindu untuk bersama keluarga tercinta yang ditinggalkan hampir sebulan,” katanya.

Pelakon Love You Mr. Arrogant itu turut menyeru kepada orang ramai untuk terus tampil menyalurkan bantuan kepada barisan hadapan yang tidak jemu berkorban demi negara.

“Terima kasih kepada PTS AG Prestige, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang memberi peluang kepada Zara Prihatin untuk turut sama merasai denyut nadi perjuangan petugas dan sukarelawan barisan hadapan Covid-19.

“Terima kasih juga kepada agensi lain yang bertungkus-lumus siang dan malam berjuang melawan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini.

“Saya mengajak kalian semua teruskan sumbangan ke pertubuhan PTS kerana sumbangan anda memberi 1001 makna buat barisan hadapan yang berjuang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19