KEHEBATAN Zara Zya dalam bidang lakonan tidak perlu dipersoal. Namun, pada sisi lain, dia juga hebat dalam bidang masakan.

Aktif berniaga makanan sebelum ini mendorong Zara meneruskan minat memasak itu pada sambutan Ramadan kali ini.

Apatah lagi, segala jadual berkaitan kerjaya seninya ditangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, maka aktiviti lain untuk menjana pendapatan harus dirancang.

Seiring minat mendalam pada masakan, sekali gus mendorong Zara untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan tempahan makanan kepada orang ramai.

Mewujudkan perkhidmatan tempahan makanan dikenali Zarazyacooks, segala maklumat menu dan harga boleh diperoleh orang ramai di platform media sosial seperti Instagram dan Facebook termasuk laman web rasmi.

Berbicara mengenai Zarazyacooks, pelakon drama Korban Kasih ini berkata, sebelum PKP lagi dia sudah aktif menjalankan perkhidmatan tempahan makanan.

“Bagaimanapun, sekarang pengurusan perkhidmatan Zarazyacooks lebih mantap kerana sudah ada pasukan yang cekap merangkumi penyediaan makanan dan penghantaran tempahan.

“Sebagai percubaan memandangkan PKP juga, Zarazyacooks kini sedia menerima tempahan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor sahaja.

“Permintaan daripada pelanggan sangat baik terutama di kawasan lain seperti Kuala Lumpur, Kota Damansara, Sungai Buloh dan Damansara, tetapi perlu diteliti. Ini kerana saya tidak mahu pelanggan tertunggu-tunggu kerana dalam keadaan PKP sekarang ada pelbagai faktor perlu diambil kira. Jarak perjalanan juga terhad,” katanya.

Mengulas mengenai menu makanan, Zara berkata, pelanggan mempunyai banyak pilihan dengan harga berpatutan. Antara aneka pilihan hidangan disediakan ialah lauk-pauk untuk berbuka, roti John, kambing golek dan ayam bakar.

Sempena Ramadan ini juga,Zara sedia berkongsi salah satu resipi kegemaran untuk juadah berbuka iaitu ayam masak asam.

Resipinya sangat mudah, ringkas, cepat dimasak dan paling ditunggu-tunggu sangat sedap dimakan ketika berbuka puasa.

Resipi Ayam Masak Asam

Bahan-bahan

  • Daging ayam

  • Asam keping dan daun limau purut

  • Serai

  • Halia

  • Cili

  • Ubi kentang

  • Kunyit dikisar bersama bawang

  • Bawang putih