SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pelakon Zainol Johary MacWilson, 62, mencari pendapatan dengan membantu saudaranya menguruskan ladang mangga Harumanis di negeri kelahirannya, Perlis.

Zainol berkata, dia bersyukur kerana ketika ini musim Harumanis sekali gus memberikan rezeki buat mereka.

“Alhamdulillah, bolehlah saya cari makan sikit-sikit dalam keadaan PKP sekarang. Nak balik Australia pun tak boleh, manakala penggambaran drama pun tergendala. Baru dua tiga hari ‘shooting’ dah kena berhenti.

“Ladang Harumanis ini kepunyaan saudara-mara saya, jadi dapatlah kami kongsi cari makan sama-sama. Saya turut promosikan jualan kepada rakan artis dan alhamdulillah Datuk Khadijah Ibrahim, Raja Azmi dan Uji Rashid sudah membeli daripada saya. Selepas itu mereka panjangkan pula promosi kepada kawan-kawan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Bapa kepada pelakon Zahirah Macwilson ini berkata, setiap tempahan pelanggan dari luar Perlis akan dihantar menggunakan khidmat penghantaran.

“Sebenarnya pergerakan saya untuk ke ladang juga terhad kerana perlu ikut giliran. Saya hanya boleh petik buah pada hari tertentu. Selepas itu barulah dapat dihantar menggunakan khidmat hantaran kepada pembeli. Setakat ini saya sudah hantar lebih 100 kilogram Harumanis dan masih ramai yang menunggu giliran.

“Apapun saya minta semua pihak bersabar dengan ujian Allah ini. Pasti ada rahmat dan kebaikannya buat kita semua,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan