PENYANYI kumpulan Sejati menzahirkan rasa kesyukuran apabila namanya tersenarai sebagai penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bakal diterima, esok.

Yazid Alias, 54, yang pernah popular menerusi lagu Bila Bunga Dipetik Orang pada 1990-an mengakui terkena tempias sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu.

Menurutnya, ini kerana banyak undangan membuat persembahan di majlis keraian dan kenduri terpaksa dibatalkan.

Katanya, pemberian BPN sudah pasti melegakan dan mengurangkan beban rakyat di negara ini serta menambah kuasa beli untuk menghadapi PKP yang berbaki kira-kira sembilan hari lagi.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sememangnya prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas sumber rezeki mereka.

“Sejak pelaksanaan PKP, saya ada menerima bantuan barangan keperluan asas tetapi bantuan BPN ini membolehkan saya membeli barangan keperluan harian lain,” katanya ketika ditemui di Slim River, hari ini.

Yazid yang juga Timbalan Presiden Malaysian Rock Legend Fun Club (MRLFC) berkata, dia masih aktif menyanyi bagi menyara kehidupan bersama lima anaknya termasuk empat masih bersekolah.

Menurutnya, sejak PKP memang didapati kos barang dapur meningkat dan dia amat bersyukur kepada Tuhan apabila layak untuk menerima BPN.

“Pada kesempatan ini, saya menyeru rakyat Malaysia agar mematuhi PKP kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan bukannya mahu ‘mengurung’ rakyat tetapi untuk memastikan negara bebas wabak Covid-19.

“Kepada mereka yang bakal menerima BPN, sewajarnya kita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan bantuan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan