SATU petisyen yang menggesa ahli perniagaan popular, Vivy Yusof meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat lebih 103,000 tandatangan selepas beberapa hari ia dimuat naik.

Petisyen itu dibuat kerana ketidakpuasan hati masyarakat terhadap Vivy yang didakwa mengeluarkan kenyataan merendah-rendahkan golongan B40 dan M40 yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Vivy dikecam teruk netizen apabila perbualannya dengan seorang lagi ahli perniagaan wanita yang juga rakannya di media sosial tular.

Dalam perbualan itu, mereka berkongsi dan bertukar pendapat mengenai sumbangan yang diberikan kerajaan kepada masyarakat selepas ramai yang terjejas dari segi pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Difahamkan, mereka dikatakan mempertikaikan sumbangan golongan berkenaan terhadap kerajaan selama ini.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Vivy bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon.

Kelmarin, Vivy memuat naik permohonan maaf di Instagram dan menjelaskan maksud sebenar perbualannya dengan rakannya itu.

“Saya ingin menjelaskan perkara sebenar di sebalik apa yang tular di Twitter. Ia bukan bermakna saya bersetuju dengan kenyataan pertama ahli perniagaan itu.

“Saya sangat mengambil berat mengenai komuniti B40 dan ingin memastikan mereka tidak kehilangan kerja. Kalau anda mengenali saya, saya harap anda faham dari mana asal usul saya.

“Saya tahu, ini takkan mengubah apa-apa tapi saya rasa, saya perlu bersuara untuk menjernihkan keadaan. Sekali lagi, saya minta maaf,” tulisnya.

Di media sosial, rata-rata ramai yang mengecam tindakannya termasuk mahu memboikot produk keluarannya di samping mempertikai tindakannya seperti merendah-rendahkan rakyat yang sebelum ini menyokong perniagaannya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan