VIDEO aksi penyanyi Yuna bergaya untuk kamera GlamBOT di karpet merah  Anugerah People’s Choice tahun lalu menjadi perhatian selepas dia memuat naiknya di Instagram, semalam.

Menurut Yuna, pengalaman itu sangat manis buatnya apabila pengarah kelahiran Kanada, Cole Walliser memberikan peluang keemasan berkenaan.

“Cole mengorek semula video ini dan saya harus kongsikannya. Ini pengalaman GlamBOT yang julung kali buat saya di Anugerah People’s Choice.

“Saya sebenarnya sangat gementar tetapi Cole adalah orang yang begitu mesra. Ia menjadikannya lebih mudah dan GlamBOT itu sangat laju,” katanya.

Perkongsian berkenaan sekali gus menerima respon luar biasa bukan saja peminat, malah rakan artis.

Ia mendapat lebih 494,000 tontonan, lebih 113,000 tanda suka, dan lebih 2,000 komen.

GlamBOT adalah rakaman menggunakan kamera berkelajuan tinggi untuk menghasilkan video gerak perlahan. Ia kerap digunakan untuk merakam aksi khas buat selebriti ternama di Hollywood.

Menurut Cole, rakaman itu dibuat menggunakan pemegang kawalan kamera yang dinamakan BOLT. Mereka menyambungnya bersama kamera Phantom 4K Flex yang menggunakan lensa Leica Summilux.

Selebriti yang pernah dirakam kamera GlamBOT berkenaan bukan calang-calang. Antaranya Brad Pitt, Ariana Grande, Jennifer Lopez, Priyanka Chopra, Nick Jonas dan ramai lagi.