SAMBUTAN ulang tahun kelahiran ke-34 isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz iaitu Datin Almy Nadia semalam cukup mencuit hati dan menghiburkan netizen.

Menerusi perkongsian di Instagram, Fizz menghadiahkan nyanyian dan ucapan istimewa daripada selebriti media sosial Indonesia yang popular dengan watak lucu iaitu Mimi Peri.

 “Ucapan khas untuk kesayangan Almy Nadia, terimalah ucapan dari kayangan. Semoga sukses selalu. Mama… Mimi Peri sampaikan ucapan hari jadi tau. Saya senak nak gelak,” tulisnya di Instagram.

Ucapan ulang tahun kelahiran itu mengejutkan sebahagian besar pengikutnya kerana tidak menyangka Fizz berjaya meminta Mimi memberi ucapan selamat hari jadi kepada Almy.

Mimi yang memiliki lebih 1.6 juta pengikut di Instagram dikenali dengan wataknya yang mencuit hati dan sering menggelarkan dirinya sebagai orang kayangan.

 Sementara itu, Almy meluahkan rasa terima kasih kepada suaminya yang berusaha mendapatkan ucapan istimewa daripada Mimi Peri.

 “Terima kasih buat suamiku sebab kamu satu hari ini buat saya gelak sampai sakit perut,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu turut meniru watak Mimi Peri sebagai bahan jenaka dalam beberapa hantaran di Instagram.

Ketika ini Mimi antara yang menjadi perhatian apabila gelagatnya mengejutkan peminatnya untuk bersahur cukup menghiburkan hati.