SEMUA pawagam akan ditutup hingga hujung bulan ini. 

Demikian keputusan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) bagi memastikan kesihatan, kebajikan pelanggan, pekerja serta masyarakat perlu dititik beratkan terlebih dahulu berikutan penularan wabak Covid-19 walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka tamat pada 14 April ini. 

MAFE menerusi satu kenyataan berkata, ia bukanlah tempoh yang senang buat pemamer filem, tapi ia adalah masa untuk mereka bersatu lebih dari sebelum ini.

 Menurutnya, walaupun ingin membuka pawagam secepat mungkin sekiranya dibenarkan, mereka perlu mengutamakan keselamatan negara untuk jangkamasa panjang serta kesihatan pelanggan dan pekerja pawagam.

“Keputusan ini menyaksikan tiada sebarang filem baharu membabitkan filem tempatan dan antarabangsa yang dijadualkan untuk tayangan antara April sehingga Jun tahun ini akan ditayangkan,” katanya. 

MAFE turut memaklumkan ahli-ahlinya yang sudah mengesahkan persetujuan untuk melanjutkan tempoh penutupan adalah Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, Berjaya -GSC Sdn Bhd, TGV Cinemas Sdn Bhd, MM2 Screen Management Sdn Bhd (mmCineplexes) dan Lotus Five Star Cinemas (M) Sdn Bhd.

Difahamkan beberapa pemamer lain yang mengambil langkah sama adalah Amerin, CineHouse, Mega Cineplex dan Megalong.

Bagaimanapun, MBO Cinemas belum membuat sebarang keputusan berkenaan lanjutan tempoh penutupan ini. 

 Terdahulu semua pawagam di Malaysia ditutup sementara bagi mematuhi PKP yang dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac lalu. 

Keputusan serupa juga diambil pemamer di beberapa negara Asean lain seperti Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Singapura bagi membendung orang ramai  berkumpul dan mengutamakan keselamatan pelanggan dan rakyat.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan