PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini sejak Februari lalu turut memberi kesan kepada industri muzik tempatan. Ini ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang turut ‘membantutkan’ perjalanan industri berkenaan.

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini yang meminta masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam hingga setahun juga pasti memberi kesan terutama dalam penganjuran konsert sepanjang tempoh berkenaan.

Namun, demi keselamatan, semua pihak akur termasuk menunda konsert yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini. Berikut senarai konsert penyanyi dalam dan luar negara yang dijadual berlangsung di sini, namun terpaksa ditunda.

Konsert Apologia Search & Awie

Konsert yang dijadual berlangsung di The Bee, Publika pada 28 Mac lalu ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Penganjur, Imaginex dalam satu kenyataan berkata, perkara itu sebagai langkah keselamatan semua pihak berikutan penularan wabak Covid-19. Pemain bass Search, Nasir berkata, penangguhan konsert itu juga turut memberi peluang kepada mereka untuk mencari lokasi baru yang lebih sesuai.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia

Rezeki nyata belum berpihak kepada penyanyi popular, Khai Bahar yang sepatutnya mengadakan konsert sulungnya pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur apabila menunda ke tarikh lain.

Penerbitnya, Fauziah Ahmad Daud berkata, langkah itu diambil selepas mendapat nasihat dan persetujuan Istana Budaya.

Konsert Innuendo The Return

Konsert ‘reunion’ kumpulan R & B popular ini yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu di Istana Budaya juga ditangguhkan. Walaupun sudah membuat persediaan rapi, mereka terpaksa akur dengan suasana getir di seluruh negara ketika ini. Orang ramai yang sudah membeli tiket boleh menuntut semula wang dengan menghantar e-mel ke [email protected] , manakala tiket baru akan diberi kepada yang mahu terus menonton pada tarikh baru.

Konsert 4G’s Gabungan Melodi Terindah

Penganjur konsert yang menggabungkan Hazama, Akim, Black dan Tomok ini, Belbis Sdn Bhd memohon maaf kepada peminat serta penaja kerana terpaksa menunda penganjuran acara yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April ini di Istana Budaya.

Kenny G Live In Malaysia

Konsert pemain saksofon legenda, Kenny G sepatutnya berlangsung pada 16 Februari lalu ditunda ke 18 Oktober ini. Ia akan menjadi kunjungan keempat Kenny G ke Arena Of Stars, Genting Highlands selepas konsert pada 2012, 2015 dan 2018.

Pada 1990-an, Kenny G juga pernah mengadakan konsert di PWTC, Kuala Lumpur.

Seventeen World Tour Ode To You in Kuala Lumpur

Pihak pengurusan kumpulan Seventeen, Pledis Entertainment dan penganjur iMe Malaysia mengambil keputusan membatalkan konsert Seventeen World Tour Ode To You In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil demi keselamatan semua pihak.

Konsert Jay Chou Live in Malaysia

Mengikut perancangan, konsert Jay Chou diadakan pada 29 Februari lalu, namun ditunda kepada 22 Ogos depan. Jay sedang dalam konsert jelajah dunia kelapannya, Carnival sebagai meraikan 20 tahun perjalanan dalam industri muzik.

Super Junior World Tour – Super Show 8 : Infinite Time in Kuala Lumpur

Kumpulan popular Korea Selatan ini sepatutnya kembali ke Malaysia pada 1 Mac lalu menerusi konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil. Ia sempena album kesembilan mereka iaitu Time Slip.

Tarikh baharu konsert mereka akan diumumkn nanti.

Kim Jae Joong Asia Tour

Konsert penyanyi dan pelakon Korea Selatan ini yang sepatutnya berlangsung 14 Mac lalu ditunda ke tarikh baharu. Menurut penganjur, tiket yang sudah dibeli perlu dituntut semula wang bayarannya kerana tidak sah untuk konsert pada tarikh baharu.

PENGANJURAN konsert ditangguhkan demi kesejahteraan semua pihak
PENGANJURAN konsert ditangguhkan demi kesejahteraan semua pihak