ANGGOTA kumpulan hip hop popular K-Clique iaitu Tuju, 24, membuat laporan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, semalam berikutan dakwaan dia sebagai kaki pukul, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tuju atau nama sebenarnya, Muhammad Azree Shah Awang Zamri dalam satu kenyataan tidak mendedahkan isi laporan itu dan terhadap siapa ia dibuat.

“Saya tidak mahu memberi komen lanjut supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. Bagaimanapun, sebagai seorang yang dikenali dalam industri hiburan tanah air, saya perlu memberi respon terhadap isu itu dan meminta jasa baik semua supaya bersikap rasional terhadap apa yang terjadi.

“Untuk makluman, pada hari ini juga (semalam), satu laporan polis sudah dibuat untuk menyiasat beberapa status dimuat naik di media sosial yang berbaur fitnah dan mengaibkan nama saya. Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kebenaran dan mendoakan agar segala kesulitan dipermudahkan,” katanya.

Tuju juga memohon maaf kepada semua pihak yang cuba mendapatkan kepastian daripadanya berhubung dakwaan itu namun tidak dapat membalasnya.

“Ramai pihak yang ada menghubungi saya terutama pihak media dan juga rakan-rakan. Saya memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat memberikan respon atas sebab-sebab yang tertentu.

“Buat masa ini saya ingin fokus kepada karier saya yang kini dalam proses untuk menghasilkan album solo dan juga lagu bersama K-Clique. Saya juga mengambil inisiatif menyahut seruan kerajaan untuk duduk di rumah dan menghasilkan lebih banyak lagu untuk peminat khususnya,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penyanyi Loca B tampil menafikan dia dipukul Tuju dan kekasihnya itu bukanlah kaki pukul sepertimana tular di media sosial.