BEKAS peserta Raja Lawak musim pertama, Che Mat menghasilkan sendiri topeng muka untuk diberikan kepada kakitangan barisan hadapan negara yang berdepan penularan pandemik Covid-19.

Che Mat ketika dihubungi berkata, usaha itu pada mulanya digerakkan oleh abang iparnya, Ayip dan isterinya, Zaifie yang membuat kerja-kerja sukarela bersama persatuan penduduk di kawasan kediamannya di Cheras Utama, Kuala Lumpur.

“Saya dan isteri tertarik dengan idea ini dan mahu turut sama melakukannya bersama mereka. Apabila saya muat naik di Facebook, ia menerima banyak permintaan daripada pihak yang memerlukan.

“Namun, kami sebenarnya tidak menerima apa-apa dana dan bergerak menggunakan modal sendiri untuk membeli barang-barang mentah bagi menghasilkan topeng muka,” katanya.

Menurutnya, perkongsian yang dibuat menerusi Facebook tidak sia-sia apabila menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang membuat tempahan untuk diberikan kepada pekerja barisan hadapan.

“Ia satu keajaiban apabila ramai pihak yang berminat. Semua golongan bermurah hati menyumbang termasuk golongan artis. Mereka antaranya ialah penerbit Fadzil Teh, Zizan Razak, Khir Rahman dan isterinya, Siti Jasmina, Zain Saidin, Vicha Barbie dan Yayasan Insyirah Coway TTDI.

Setakat ini kami sudah menyiapkan sebanyak 3,500 topeng muka dan penghantaran dibuat menggunakan perkhidmatan Grab,” katanya.

Che Mat berkata, mereka masih lagi membuka peluang kepada penderma yang berminat memberi dana topeng muka untuk disumbangkan kepada pihak yang memerlukan khasnya pekerja barisan hadapan.

“Mereka boleh menghubungi saya di talian 011 5500 9184 atau Ayip di talian 012 2012513,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19