PENYANYI Liza Hanim membuka aplikasi nyanyian iaitu Smule sebagai langkah untuk mendekatkan diri dengan peminat.

Liza berkata, idea itu tercetus apabila dia ingin mengisi masa peminat sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jujur saya baru saja mendaftar dan memuat turun aplikasi ini untuk mempromosikan single terbaharu saya Tiada. Namun dalam masa sama, saya juga memberi peminat pilihan dalam mengisi masa sewaktu PKP.

“Saya akan pilih mereka yang berduet dengan saya untuk Live bersama di Instagram setiap malam selepas mereka muat naik video itu di Instagram. Aplikasi ini sebenarnya membawa saya lebih dekat dengan peminat. Saya juga berpeluang untuk berduet dengan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai lagu Tiada, Liza berkata, selepas beberapa tahun tidak muncul dengan lagu baru, dia tampil dengan lagu ini bagi mengubat kerinduan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Katanya, idea lagu terbabit muncul ketika dia sedang merindui dan terkenangkan arwah bapanya yang meninggal dunia tahun lalu.

“Ia muncul ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Ketika itu saya seorang saja, jadi mulalah terfikir macam-macam. Tiba-tiba saya teringatkan arwah ayah dan terbayangkan wajahnya. Kemudian datang melodi membuatkan saya terus ambil telefon dan merakam melodi itu,” katanya.

Lirik lagu berkenaan ditulis Fedtri Yahya dan susunan muzik oleh Sharon Paul.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan