PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsi pengalamannya menyambut Ramadan tahun ini apabila terpaksa menukar rutin dan ‘hadiah puasa’ buat anak-anaknya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fazley berkata, tahun sebelumnya, setiap kali menjelang Ramadan, kunjungan ke bazar Ramadan menjadi ‘hadiah’ bagi memberi semangat buat anak-anaknya untuk berpuasa penuh.

“Disebabkan perlu patuh PKP, saya menjelaskan pada anak-anak terutamanya yang masih kecil kerana mereka belum benar-benar faham kenapa tahun ini tidak dapat ke bazar Ramadan.

“Diakui ada rasa kecewa sedikit di raut wajah mereka. Biasalah, anak-anak kecil. Jadi, tahun ini, ‘hadiah puasa’ itu ditukar kepada bentuk lain iaitu dalam bentuk wang atau belikan mainan.

“Saya juga akan masakkan makanan kegemaran supaya mereka bersemangat untuk berpuasa penuh,” katanya kepada Harian Metro.

Memasuki hari kedua Ramadan, Fazley bersyukur kerana berpeluang menghabiskan masa bersama keluarga.

“Saya sekeluarga dapat menghabiskan banyak waktu bersama memandangkan saya bekerja dari rumah. Jadi, kami menunaikan solat tarawih secara secara berjemaah di rumah,” katanya.