PELAKON Puteri Aishah yang disahkan positif Covid-19 kini berada dalam keadaan baik, namun mengalami sedikit jangkitan virus di paru-parunya.

Puteri menerusi Instagram berkata, dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya dan berharap semua pihak mengikut segala nasihat dan perintah daripada kerajaan.

“Assalamualaikum semua, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang mendoakan kesihatan saya. Alhmdulillah sekarang saya okey cuma ada sedikit jangkitan virus di paru-paru. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Saya harap anda semua ikut perintah kerajaan untuk duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri. Mohon jangan ambil perkara ini mudah,” katanya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Puteri, dia juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor dan jururawat di hospital berkenaan atas layanan baik yang diberikan.

“Semua doktor dan jururawat di sini sangat baik dan membantu. Terima kasih kepada anda semua. Doakan saya dan pesakit lain segera sembuh. Mari kita lawan bersama. Terima kasih ,” katanya.

Sebelum ini, pengurusnya Iman Tang memaklumkan Puteri  disahkan positif Covid-19 di selepas seminggu pulang dari menjalani penggambaran drama Demi di Scotland pada 31 Mac lalu.

Selain Puteri, pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rayyana Raqya dan ibunya, Syira serta lima kru produksi termasuk pengarah, penolong pengarah, jurusolek dan jurukamera turut positif penyakit itu.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19