PENYANYI popular, Khai Bahar teruja apabila dipilih untuk bekerjasama dengan kumpulan nasyid terkenal, Inteam dalam lagu Setanggi Syurga 2020.

Khai berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan kumpulan nasyid kegemarannya itu.

“Alhamdulillah, impian saya menjadi kenyataan. Sebenarnya, untuk projek ini, pihak Inteam yang mempelawa saya dan sangat teruja. Tanpa fikir panjang saya terus terima. Kebetulan saya memang nak bekerjasama dengan kumpulan nasyid antaranya Inteam. Terima kasih pada Inteam kerana beri saya peluang dan kepercayaan untuk bekerjasama.

 “Sebelum ini, kami tak pernah bekerjasama. Memang sangat teruja dan harap semua dapat terima dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Lagu Setanggi Syurga nyanyian asal Inteam yang dirakam pada 2004 menerusi album In-Team ‘04 dan diberi nafas baru itu bakal dilancarkan secara rasmi pada jam 9 malam ini di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

 “Ramai sudah tahu lagu ini. Ia sedap didengar dan antara lagu kegemaran peminat lagu nasyid dari dahulu sampai sekarang. 

 “Malah, ia juga lagu kegemaran saya. Jadi, bagi saya kenapa tidak untuk dirakamkan lagu ini tapi dengan versi yang lebih segar,” katanya.

 Menyentuh soal perbandingan yang bakal timbul membabitkan kerjasama itu dengan Raihan dan Alif Satar menerusi lagu Sesungguhnya 2019, Khai berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul.

 “Saya sudah bersedia dengan apa juga maklum balas. Cuma bagi saya, tidak perlu dibandingkan. Untuk lagu sedia ada yang sedap dan pernah dengar, jika diberi nafas baru ia akan menjadi satu kelainan. Jadi bagi saya, tak rasa akan ada isu perbandingan ini,” katanya.