PELAKON Zarina Anjoulie Lavocah terharu dan berterima kasih kepada pelakon, Nur Fazura apabila tampil menyalurkan wang sumbangan bagi menjayakan misi bantuan yang sedang dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Zarina juga mendedahkan, Fazura adalah artis pertama yang berbuat demikian dan tidak menjangka usaha itu mendapat perhatian daripada pelakon terbabit.

“Apabila saya memulakan misi bantuan ini, tiada seorang artis pun yang cuba tolong saya namun tidak mengapalah. Fazura satu-satunya yang ke hadapan memberi pertolongan.

“Saya sendiri tidak tahu dia melihat Instagram saya walaupun kami berkawan di laman sosial itu. Disebabkan bantuannya itu, saya dapat membantu 10 lagi keluarga terutama yang memiliki bayi dan anak kecil,” katanya.

Zarina bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah wang disalurkan pelakon itu.

“Sebaiknya, tidak perlu dedahkan berapa jumlah itu demi keselesaan semua. Saya cuma nak katakan jumlah itu mampu membeli barangan yang lengkap termasuklah susu anak, lampin pakai buang, beras, garam, gula, minyak dan lain-lain,” katanya.

Semalam, Zarina menerusi perkongsian di IG memaklumkan berdepan masalah apabila kad bank melebihi had selepas berbelanja membeli barangan bantuan itu.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila menerima mesej peribadi (DM) daripada Fazura di Instagram yang menyalurkan sejumlah wang kepadanya.

Bantuan itu dapat menyambung kembali misi Zarina membeli barangan keperluan dan seterusnya disalurkan kepada keluarga memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan