PELBAGAI cara dilakukan bagi menzahirkan penghargaan terhadap kakitangan barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus-lumus menangani wabak Covid-19 di negara kita.

Tidak terkecuali, lima penggiat seni iaitu Shamsul Cairel, Aqasha, Raja Mohd Sham, Profesor Madya Khairil Anwar Dean dan Is Wow yang bergabung tenaga menghasilkan single, Terima Kasih Frontliners.

Mereka yang berpengalaman luas dalam bidang persembahan dan rakaman serta tergolong dalam kelompok pemuzik profesional negara, menamakan gabungan ini sebagai Funky Brigades.

Shamsul Cairel berkata, mereka menghasilkan lagu baharu itu khusus untuk mengenang jasa barisan hadapan yang sanggup berkorban masa, tenaga serta nyawa sendiri bagi memastikan rakyat Malaysia bebas dari ancaman virus pembunuh itu.

“Terima Kasih Frontliners dicipta ketika negara sedang berada di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.

“Idea ini timbul kerana kami tersentuh dengan pengorbanan dilakukan mereka yang sukar dibalas dengan pelbagai cara sekali pun termasuk wang ringgit.

“Situasi ini seterusnya mendorong kami bergabung bagi menghasilkan lagu yang amat besar maknanya ini,” katanya.

Apa yang menarik adalah proses rakaman untuk lagu ini dijalankan di rumah dan studio masing-masing sebagai mematuhi PKP.

Khairil Anwar Dean yang bermain bass, adalah tenaga pengajar di salah sebuah universiti di Kelantan dan menetap di negeri itu.

Aqasha sebagai penyanyi berada di Shah Alam, Is Wow (pemain keyboard) berada di Semenyih, Raja Mohd Sham (pemain gitar) di Taman Melawati, manakala Shamsul Cairel sendiri yang bertindak sebagai pemain gitar akustik, penggubah dan juruadun (mixing and mastering) berada di studionya di Desa Melawati.

“Proses penciptaan, gubahan dan rakaman hanya memakan masa seminggu untuk selesai sepenuhnya. Sementara, proses menyiapkan video muzik pula mengambil masa tiga hari untuk disiapkan.

“Kami berterima kasih kepada Nazim Shah dari Apocalypse Studio yang sanggup bekerjasama untuk menghasilkan sebuah video muzik dan Syaiful Redzuan, jurukamera untuk agensi media luar Malaysia, yang berada di lapangan ketika PKP sedang dikuatkuasakan.

“Dia memberikan kami kebenaran untuk menggunakan foto yang diambil untuk dimuatkan dalam video muzik ini. Ia adalah sumbangan kecil kami buat ‘frontliners ‘yang sanggup berkorban untuk kita semua,” katanya.

Video muzik lagu Terima Kasih Frontliners sudah boleh ditonton di saluran YouTube.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan