PENYANYI dan pelakon Naim Daniel berpendapat pada masa sekarang bantuan khusus untuk kelompok tertentu seperti penggiat seni tidak diperlukan.

Dalam perkongsian video berdurasi dua minit dan 40 saat yang dimuat naik di Instagram menerusi program #dirumahjer Harian Metro itu, Naim berkata tidak perlu ada keistimewaan tertentu buat golongan penggiat seni.

“Saya tak rasa sebagai artis perlu ada hak istimewa kerana penggiat seni. Pada masa sekarang, kita semua adalah rakyat Malaysia.

“Sebagai rakyat, ia sudah menyeluruh. Tak kisahlah penyanyi ke, pelakon ke, komposer ke, kita adalah rakyat Malaysia termasuk masih bujang atau dah berkahwin.

“Jadi, boleh minta bantuan macam biasa mengikut apa disarankan kerajaan. Selama ini pun, memang kerajaan membantu,” katanya.

Menurut Naim lagi, inilah masa untuk tidak melabel diri dari sektor pekerjaan tertentu bagi mendapatkan bantuan khusus.

“Saya rasa, ketika ini pada situasi penularan Covid-19 yang berlaku dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya kena dilihat dari sudut kemanusiaan.

“Kalau saya sendiri pun dalam kesusahan, minta bantuan macam biasa. Saya tak rasa dalam keadaan sekarang, perlu diwujudkan bantuan khusus.

“Jika nak dibuat juga, itu di atas inisiatif unit artis sendiri yang nak membantu penggiat seni” katanya.

PENYANYI, Naim Danial. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Naim Danial. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Ujar Naim, pada ketika ini ada banyak perkara penting lain harus diperdebatkan berbanding bantuan khusus kepada penggiat seni.

“Saya rasa kerajaan dah kemukakan pengumuman untuk bantuan pelbagai sektor, ikut saja.

Minta bantuan kalau sangat memerlukan kerana semua orang boleh minta.

“Ikut semua yang ditetapkan kerajaan untuk dapatkan bantuan itu dan saya rasa takkan ada apa-apa masalah jika berlandaskan prosedur,” katanya.

Naim berkata menjadi peringatan kepada dirinya juga sebagai individu yang bekerja dalam industri hiburan dan penggiat seni perlu sedar tidak selamanya akan berada di atas.

Ujarnya, pada ketika nama dikenali dan masih diperlukan, kumpullah seberapa banyak yang mampu untuk jaminan masa depan. Jika ada lebih, boleh juga membantu orang lain.

Menerusi perkongsian dibuat, video itu sudah ditonton lebih 119,000 kali dan mendapat lebih 600 komen positif daripada warganet.

Kebanyakan warganet memuji Naim berfikiran matang dan pendapatnya dilihat sangat rasional kerana mengambil kira sudut kemanusian.


View this post on Instagram

A post shared by Naim Daniel (@naimdanielx) on

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan