PENERBIT dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin menyeru semua pihak termasuklah pihak produksi dan tenaga kerja belakang tabir supaya bersabar dan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Shahrulezad berkata, dia sebagai penerbit dan pengarah tidak mahu mendedahkan kru dan pelakon kepada risiko jangkitan wabak Covid-19 semata-mata untuk menyiapkan penggambaran yang tergendala.

“Saya sendiri ada dua drama tergendala dan tergantung. Pertama adalah Dendam Cinta Arissa yang disiarkan di Astro dan kedua adalah Aku Yang Merinduimu siaran RTM.

“Namun, apabila difikirkan semula, tidak berbaloi sekiranya saya merisikokan nyawa semua yang terbabit. Jadi, saya minta semua pihak faham situasi sekarang kerana kita masih ‘berperang’ dengan musuh yang kita tak nampak,” katanya kepada Harian Metro.

Diminta mengulas mengenai cadangan dikemukakan penerbit, Fadzil Teh dan pengarah, Shuhaimi Lua yang meminta agar pihak kerajaan memberikan kelonggaran kepada syarikat produksi untuk kembali menjalankan penggambaran dengan bersyarat, Shahrulezad menghormati pendapat mereka.

“Mereka berhak bersuara kerana mereka ada alasan tersendiri. Saya menghormati pendapat mereka dan faham perkara itu.

“Secara peribadi, saya bersyukur kerana pihak bank yang memberikan pinjaman untuk menerbitkan sesuatu karya dan dapat kemudahan menangguhkan pembayaran selama enam bulan.

“Pada saya, sekiranya sektor perfileman atau seni ini diberikan kelonggaran, tentunya sektor lain juga inginkan layanan yang sama supaya adil. Kalau semua kembali beroperasi, apa fungsinya diwujudkan PKP?” katanya.

Menurut Shahrulezad, sekiranya penggambaran dijalankan secara bersyarat dengan pendekatan penjarakan sosial dan pemakaian topeng mulut dan hidung, ia masih lagi berisiko.

“Walaupun kita mengikut syarat yang ditetapkan, kita tidak tahu kalau dalam produksi itu ada seorang yang dijangkiti dan secara tak langsung, semua yang ada di situ berisiko untuk dijangkiti.

“Pelakon dan jurusolek contohnya, tentunya akan bersentuhan dan itu berisiko tinggi. Kita dapat lihat baru-baru ini apabila ada syarikat produksi yang menjalankan penggambaran di luar negara, terpaksa pulang dan berdepan jangkitan Covid-19.

“Sejauh mana pun kita berjaga-jaga di lokasi penggambaran, pihak produksi takkan dapat memberikan jaminan 100 peratus mengenai tahap keselamatan dan kesihatan setiap nyawa yang berada di situ,” katanya.

Shahrulezad turut menjelaskan kepada semua kru supaya faham situasi yang berlaku.

“Sebelum PKP dilanjutkan lagi, saya minta mereka patuh dan bantu kerajaan untuk sama-sama memutuskan rantaian Covid-19 ini.

“Saya beritahu, sekiranya ada dalam kalangan mereka yang terputus bekalan makanan atau memerlukan bantuan, sila maklumkan dan kita saling membantu.

“Ini masanya untuk kita saling membantu mereka. Sekiranya kita semua patuh dan penularan Covid-19 dapat dihentikan secepat mungkin, kita semua dapat kembali bekerja seperti sedia kala,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan