PENYANYI, Aiman Tino, 22, berkongsi rasa teruja apabila menerima kehadiran adik baru yang juga anak ke-11 dalam keluarga mereka yang diberi nama Nina Delisya.

Aiman ketika dihubungi berkata, perasaan itu berbeza berbanding kali terakhir dia menerima adik baru ketika berusia 18 tahun.

“Perasaan itu berbeza berbanding sebelum ini. Mungkin sebab saya sendiri sudah dewasa dan lebih matang, jadi rasa lebih teruja berbanding ketika zaman remaja,” katanya kepada Harian Metro.

Aiman bagaimanapun perlu menjaga jarak dengan adiknya yang baru berusia tiga hari itu memandangkan wabak Covid-19 yang melanda negara sekarang.

“Kalau nak ikutkan, rasa geram dan nak gomol saja. Tapi, disebabkan situasi sekarang, saya pun berjaga-jaga. Selalunya, selepas mandi baru saya akan dekat dengan dia,” katanya.

Menurut Aiman, kehadiran anggota baru dalam keluarganya itu menambahkan lagi kemeriahan dan keceriaan rumah mereka.

“Sebelum ini, kami 11 beranak dan sekarang bertambah lagi seorang ahli keluarga. Bertambah meriahlah lagi.

“Itu belum lagi kira kakak dan abang yang sudah berkahwin kerana sekarang mereka menetap di tempat lain. Kalau tidak, sudah macam Hari Raya,” katanya.

Sembilan lagi adik beradik Aiman ialah Nur Fara Ain, 25, Mohd Aidil, 24, Nurfarazira, 23, Nur Isfasha, 17, Mohd Haikal, 13, Nur Alya Mahsuri, 10, Nur Qaseh Mahsuri, 8, Mohd Ikhwan, 5 dan Nur Nina Izara, 4.