KESEDIAAN pelakon dan pelawak, Syanie Hisham, 47, untuk berhijab disambut baik oleh ahli keluarga dan suami tercinta, Zahril Hafiz Mohammed Nor.

Mengakui sudah tiba waktu yang tepat untuk dirinya berhijrah ke arah yang lebih baik, Syanie memilih untuk berhijab serentak dengan hari bahagianya pada 19 Februari lalu.

Kata Syanie, keputusan mahu berhijab sudah disuarakan kepada suami, sejak tahun lalu.

“Saya pernah berkongsi dengan suami yang ketika itu masih berstatus tunangan mengenai keputusan mahu bertudung. Suami tanya saya, bila mahu berhijrah tapi ketika itu masih tiada jawapan pasti.

“Cuma, saya ada memberi bayangan kemungkinan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan kami. Alhamdulillah, dia sangat menggalakkan saya membuat perubahan dalam hidup.

“Syukur alhamdulillah juga apabila ahli keluarga sentiasa memberikan sokongan. Mereka selalu ingatkan kepada saya bahawa penghijrahan ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main.

“Namun saya cuba yakinkan kepada mereka bahawa sudah tiba masanya untuk berhijab. Tambahan pula, umur saya makin meningkat. Takkan saya nak biarkan diri saya tidak bertudung untuk selama-lamanya,” katanya.

Tambah Syanie, dia mengakui berasa takut sebaik membuat keputusan untuk berhijab, namun cuba kuatkan diri dan yakin dengan keputusan yang dilakunya itu.

“Pada awalnya, saya rasa takut. Bukan apa, melihat kepada saiz badan saya yang besar dan mudah berpeluh, membuatkan saya rasa bimbang jika keyakinan diri untuk terus bertudung berubah.

“Namun saya cuba kumpul kekuatan dan Alhamdulillah setakat ini saya selesa dengan imej ini. Walaupun tak pandai nak gayakan tudung mengikut fesyen terkini, tapi saya cuba perlahan-lahan,” katanya.

Dalam pada itu, tahun ini menyaksikan 30 tahun pembabitan Syanie dalam industri seni hiburan tanah air.

Kata Syanie, tiada apa yang ingin dicapai lagi, sebaliknya bersyukur di atas setiap peluang yang diberikan kepadanya.

SOKONGAN suami, Syanie bersyukur dipertemukan jodoh dengan Zahril Hafiz.
SOKONGAN suami, Syanie bersyukur dipertemukan jodoh dengan Zahril Hafiz.

” Tiada apa yang saya nak capai atau idamkan pun. Saya cuma bersyukur apabila kehadiran saya masih lagi diterima dan mendapat sokongan daripada peminat.

“Seakan macam tak percaya apabila lakonan saya masih ada lagi yang nak tonton dan lebih menarik di usia sekarang ini, saya tetap mampu menghiburkan penonton. Itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syanie berkata, dia berasa teruja apabila sekali lagi digandingkan bersama dengan pelawak bertaraf legenda, Saiful Apek menerusi filem Hantu Kuat Ketawa.

Syanie yang juga bekas peserta program Masterchef Selebriti musim kedua, berkata secara kebetulan, filem itu adakah karya kedua arahan Mawi dan memerlukan dia berhijab.

“Saya teruja kerana filem komedi seram ini akan mengimbas kembali kenangan bekerjasama dengan Apek, suatu ketika dahulu.

“Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami,” katanya.

Syanie melangsungkan pernikahan kali ketiga dengan perunding kewangan berstatus duda tanpa anak dikenali Zahril Hafiz di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 19 Februari lalu.

Majlis secara sederhana itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan suami yang begitu menyokong dan memahami kerjaya saya sebagai pelakon.

“Dia tidak pernah melarang kerana baginya ini adalah kerjaya dan minat saya. Malah dia juga sanggup menghantar dan jemput saya di lokasi penggambaran,” katanya.