MEMPERJUANGKAN genre muzik ska, punk rock dan reggae. Inilah teras muzik yang dibawakan Plague of Happiness yang mula bergabung pada awal 1999.

Pada peringkat awal, semua anggota asalnya aktif dengan aktiviti skateboard (papan luncur) di sekitar Johor Bahru dan hanya bermain muzik untuk mengisi masa lapang.

Plague of Happiness kini dianggotai Nas (penyanyi dan gitar), Ipin (bass dan penyanyi latar), Atoi (trumpet), Azmal (saksofon tenor), Nausad (trombone), Arab (gitar), Pozy (dram), Kateq (trombone) dan Anip (trumpet).

Nas berkata, demo/EP sulung mereka berjudul Nanban dihasilkan secara tidak langsung pada 2000 kerana ingin menolong seorang rakan menyertai satu pertandingan.

“Kami bantu Azhar Rudin iaitu pengarah dokumentari dan filem pendek untuk menghantar video ke Anugerah Video Malaysia dalam kategori Video Muzik.

“Pada mulanya kami merakam secara live dengan hanya menggunakan alat perakam biasa. Bagaimanapun, hasilnya tidak begitu baik. Jadi, kami buat keputusan ke studio rakaman Batu Giling, milik komposer Shahnazron. Dari situlah akhirnya produk sulung berjudul Nanban itu terhasil,” katanya.

Sepanjang 2000 sehingga akhir 2007, mereka banyak menghasilkan album kompilasi, split album dan live video di bawah label sendiri iaitu Nyaring dan label tempatan lain seperti Clockwork Records.

Mereka juga pernah menghasilkan album di bawah label dari Eropah seperti Troskot Records di Bulgaria dan beberapa lagi.

Album pertama mereka berjudul Kawan menyusul pada 2007 yang menyaksikan Plague of Happiness menjelajah seluruh negara untuk mempromosikan album terbabit.

“Banyak pengalaman suka duka yang kami lalui dalam karier termasuk ditahan polis di sebuah negeri atas tuduhan terbabit dalam parti liar dan ia turut mendapat liputan satu program TV.

“Kami seterusnya menyertai jelajah program Radio Rosak yang dicetuskan komposer Edrie Hashim pada 2009 bersama beberapa kumpulan popular tanah air seperti Bunkface, Cili Zip Ziller, OAG dan Estranged.

“Dalam tahun yang sama juga, album Kawan dipasarkan di Bandung, Indonesia, hasil kerjasama Nyaring dan label indonesia The Island,” katanya.

Mereka juga mengadakan sesi jelajah ke Indonesia pada 2010.

Karier Plague of Happiness semakin sukses apabila mengadakan konsert solo pertama di Johor Bahru pada 2011.

“Kami seterusnya tampil dengan dokumentari pertama kelolaan pengarah berbakat Shima Scarlett pada 2016. Kami kemudian menghasilkan album kedua berjudul Tunjal dan mengadakan persembahan di Jepun, Indonesia, Kemboja, Thailand, Singapura dan seluruh negara untuk promosi album ini. Pada Mei tahun lalu, kami menyambut ulang tahun ke-20 di gelanggang circus, Capital City Mall, Johor Bahru, atas bantuan Kreat dan Vans Malaysia,” katanya.

Istimewanya, mereka hadir dengan dokumentari kedua di House of Vans di bawah kelolaan Vans Malaysia dan produksi Curative.

“Akhir tahun lalu, kami keluarkan album separa live untuk mempromosikan single terbaharu berjudul Masa. Ia adalah sebuah lagu memperingati perjalanan kami selama bersama kawan-kawan terdekat dan memperingati tujuan sebenar bermain muzik.

“Awal tahun ini kami membantu Pelancongan Johor menghasilkan lagu tema mereka berjudul Permata Menari,” katanya yang merancang untuk menghasilkan album ketiga Plague of Happiness pada pertengahan 2021.