UMUM mengetahui pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat kerajaan sejak 18 Mac lalu memberi kesan besar kepada seluruh sektor pekerjaan.

Malah, lebih malang apabila ada individu dan keluarga yang terputus sumber rezeki terutama membabitkan ibu tunggal, ibu yang mempunyai anak kecil, golongan asnaf dan ramai lagi.

Menyedari kesusahan yang menimpa, beberapa selebriti tempatan terpanggil untuk menghulurkan bantuan berupa wang ringgit dan barangan keperluan.

Ada antara mereka bergerak sendiri dan begitu juga yang bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

ADI Putra menyerahkan sumbangan kepada anggota polis.
ADI Putra menyerahkan sumbangan kepada anggota polis.

Antara selebriti terbabit ialah Zarina Anjoulie Lavocah, Rita Rudaini, Intan Najuwa, Shuib Sepahtu, Man Raja Lawak, Datuk Hattan, Datuk Adi Putra, Anzalna Nasir, Black Hanifah dan Achey.

Bagi Anzalna, apa dilakukan adalah sumbangan kecil bagi membantu mereka yang sangat memerlukan ketika ini.

“Walaupun kerajaan sudah membantu, tapi ini bantuan kecil saya juga. Saya bukan kaya-raya nak tolong bagi banyak.

“Apa termampu sekarang, saya berikan sumbangan beli susu dan lampin pakai buang sebab ia penting bagi mereka yang ada anak kecil,” katanya.

Tidak ketinggalan beberapa selebriti yang turun padang dengan menjadi sukarelawan membantu barisan hadapan menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) iaitu Datuk A Aida dan Adam Shahz.

A AIDA bersama petugas di pusat kuarantin.
A AIDA bersama petugas di pusat kuarantin.

Bagi A Aida yang juga Leftenan Kolonel Bersekutu APM berkata, kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk membantu barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Apa lagi yang saya ada untuk membantu. Apabila diminta untuk turun padang, saya secara sukarela. Ini masa untuk saya memberikan khidmat pada negara.

“Walaupun bimbang pada anak-anak, tapi saya anggap ini pengorbanan sama seperti anggota lain. Bagi saya, kalau nak takut mati, Allah bila masa saja boleh tarik nyawa kita. Jadi, saya reda saja,” katanya.

Turut sama adalah penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyumbang makanan kepada petugas di hospital, pelakon, Siti Elizad yang memasak untuk anggota yang menjalankan sekatan jalan raya dan pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya yang membuat sumbangan makanan kepada anggota tentera.

Bukan dengan cara itu sahaja, malah ada juga artis yang mengambil pendekatan dengan menghulurkan bantuan menerusi gaji mereka seperti dilakukan penyampai radio Era, Haniff dan Radin.

SUMBANGAN makanan daripada Siti kepada petugas di hospital.
SUMBANGAN makanan daripada Siti kepada petugas di hospital.

Kedua-dua mereka menyumbang sebahagian kecil daripada baki gaji mereka kepada kru produksi yang bekerja secara ‘freelance’ serta mereka yang memerlukan.

Malah, pelakon, Fazura juga menyalurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Zarina Anjoulie bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian.

Pendekatan lain yang digunakan selebriti tempatan untuk membantu peniaga kecil terutama yang berniaga secara dalam talian adalah membantu mereka mempromosikan produk secara percuma di Instagram dan Twitter.

Antaranya, Adibah Noor, Ayda Jebat dan Elly Mazlein. Sumbangan dan pendekatan yang dibuat selebriti ini bukan isu utama. Tapi, lebih penting adalah niat ingin membantu sesama bangsa dan rakyat Malaysia.

Rasa kemanusiaan yang masih ada dalam diri tentu sahaja mendorong mereka untuk sama-sama membantu. Tanpa mengira latar belakang dan siapa mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan