PELAKON, Raja Ilya mengakui suaminya, Trent Garrett, 38, yang juga warganegara Australia tidak berdepan masalah menjalani ibadah puasa.

Ilya, 35, berkata, suaminya yang juga ahli perniagaan itu sudah biasa menahan lapar dan dahaga kerana sebelumnya mengamalkan diet ‘intermittent fasting’.

“Alhamdulilah, suami okay. Dia sudah biasa buat diet ‘intermittent fasting’ selama 16 jam.

Jadi, apabila kena berpuasa pada Ramadan, dia okay.

“Waktu imsak di sini jam 5.21 pagi, jadi kena bangun awal sikit. Apatah lagi hari ini Australia meraikan Anzac Day iaitu hari memperingati warga Australia dan New Zealand yang gugur dalam peperangan.

“Jadi, selepas sahur dalam jam 6 pagi, satu Australia berdiri depan rumah selama beberapa minit. Dengan letak lilin depan rumah. Ia sesuatu yang baru buat saya tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Ilya yang juga pelakon Syurgaku Tak Sempurna berasa sedih apabila pertama kali berpuasa tanpa keluarga.

“Kalau ikutkan bulan lalu saya balik ke Kuala Lumpur sebab ada penggambaran. Tapi, disebabkan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia, jadi semua aktiviti ditunda. Saya pun tak jadi pulang.

“Kiranya, semalam buat pertama kali sepanjang 34 tahun ini saya berpuasa di luar negara dan tanpa keluarga. Sangat sedih.

“Tapi, Alhamdulilah apabila buat panggilan video dengan keluarga baru rasa okay sikit,” katanya.

Raja Ilya dan Trent Garrett berkahwin di kediaman saudara ahli perniagaan itu di Perth dalam majlis tertutup dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak pada 23 Disember tahun lalu.