“ITU adalah keputusan suami. Saya sebenarnya tak terbabit pun,” kata pelakon, Anzalna Nasir mengulas tindakan suaminya, Hanif Zaki meminjamkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton untuk kerja amal dilakukan pendakwah dikenali Ustaz Firdaus Wong.

Namun, Anzalna mengakui Hanif ada berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Dia tanya apa yang boleh dia bantu orang dan saya pun cadangkan apa yang perlu.

“Jadi, dia setuju jika cadangan ini baik. Malah, sebelum ini pun kami ada tolong keluarga yang mempunyai anak-anak kecil bagi keperluan lampin pakai buang dan susu.

“Cuma, sekarang kami berhenti dulu. Kemudian, suami cakap dia dapat idea nak cari orang yang perlukan kenderaan untuk hantar barang-barang sumbangan,’ katanya.

Anzalna turut membuat perkongsian perkara positif dilakukan suaminya itu di Instagram miliknya.

“Bila namanya perniagaan, memang ada untung ada rugi. Tapi janganlah takut untuk bersedekah jariah dan tak perlu tunggu kaya baru nak buat semua ni.

“Alhamdulillah rezeki ustaz @firdauswong dapat Triton untuk digunakan bagi mengedarkan sumbangan sepanjang tempoh PKP. Terima kasih ustaz kerana membantu mereka yang memerlukan,” tulisnya.

Anzalna juga memuat naik video suaminya bekerjasama dengan syarikat.Mitsubishi EON Auto Mart di Ampang yang sudi meminjamkan Triton kepada Ustaz Firdaus untuk digunakan bagi tujuan mengedar sumbangan kepada asnaf dan golongan B40 di seluruh negara sehingga tamat tempoh PKP ini.

“Untuk cari pengangkutan sekarang pun agak susah. Unit pandu uji kenderaan tempat suami, bukan boleh bekerja pun sekarang.

“Ada baiknya dia beramal dan bantu org lain. Ini adalah kereta pandu uji milik unit pusat pameran.

“InshaaAllah kita bagi pinjam sepanjang PKP ini. Kalau ada lagi badan bukan kerajaan (NGO) nak, boleh beritahu kami. InshaaAllah kami boleh bantu,” katanya.

Menurut Anzalna lagi, minyak untuk kenderaan terbabit juga ditaja sepenuhnya, manakala pemanduan oleh individu itu sendiri.

“Kami dapat rasa satu kepuasan apabila berpeluang menolong orang lain hingga mengundang sebak didada.

“Saya rasa gembira dan tenang. InshaaAllah kalau ada rezeki lebih, kami akan bantu lagi mereka yang memerlukan,” katanya.


View this post on Instagram

A post shared by Anzalna Nasir (@anzalnanasir88) on

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan