“ALHAMDULILLAH, demam saya semakin baik. Bekalan ubat dan makanan pun tak putus, masih ada kerana ramai rakan yang prihatin menghantarkannya setiap hari.

“Terima kasih di atas sikap ambil berat dan kata-kata semangat positif diberikan rakan yang membantu untuk saya terus semangat menempuh ujian ini,” kata pelakon drama Keluarga Iskandar, Mohd Sobri Anuar Tarmizi.

Mohd Sobri, 43, kini terperangkap dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India sejak 7 April lalu dalam keadaan dirinya mengalami demam.

Perlaksanaan PKPD ke atas Bangunan Selangor Mansion itu dilaksana kerajaan berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat banyak kes positif jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Mohd Sobri dihubungi berkata dia berasakan keadaan kesihatannya beransur baik dan sakit dada pun sudah hilang. Namun, tetap berdebar menunggu keputusan pemeriksaan saringan Covid-19 dilakukan pada 8 April lalu.

“Perasaan bimbang tak dinafikan memang ada. Tetapi, saya banyakkan berzikir, fikir positif dan makan ubat demam pada masanya.

“Saya nak sihat cepat dan berharap dapat keluar dari bangunan ini segera. Nak balik ke Klang, jumpa dengan mak kerana dah terlalu rindu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Sobri, ibunya selalu menghubungi secara panggilan video. Apapun, baginya lagi seronok dapat tengok ibu depan mata.

“Apapun, semoga keputusan pemeriksaan saringan sampel Covid-19 dilakukan itu negatif. Malah, harapnya demam dihidapi ini pun hanya biasa saja.

“Namun, yang pasti saya akan kuarantin diri sebaik mungkin dalam bangunan ini walaupun setiap hari dimaklumkan ada penghuni dibawa ke hospital oleh KKM untuk rawatan Covid-19,” katanya.

Mohd Sobri berkata memandangkan lanjutan PKP sehingga 28 April ini, kepada orang ramai teruskan duduk di rumah, jaga kebersihan, kerap basuh tangan dan pastikan jarak sosial.

Sentiasa mengemas kini hantaran aktiviti harian dan tahap kesihatannya di Facebook, Mohd Sobri berkata ia sekadar perkongsian kepada rakan dan keluarga yang mengikutinya di platform media sosial itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19