DATUK Seri Siti Nurhaliza membuat kejutan dengan menghiburkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada sesi siaran langsung di Instagram pagi tadi.

Pada program Bicara Santai #DudukRumah bersama Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah itu, Siti memilih lagu Gubahanku yang juga menjadi lagu kegemaran mereka.

“Ini adalah kejutan buat mereka berdua. Saya rasa muzik atau menyanyi ini sebagai terapi kepada orang ramai. Kalau setiap kali buat sesi ‘live‘ di Instagram, mereka minta saya menyanyi. Kadang-kadang saya segan sebab tidak mahu dilihat terlalu seronok sangat  di rumah.

“Tapi, sebagai terapi untuk mereka yang mungkin bosan, jadi saya menyanyi. Jadi, mereka seronok. Saya berharap nyanyian saya menghiburkan Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah. Saya tahu ini lagu kegemaran mereka,” katanya.

POSTER Bicara Santai #DudukRumah
POSTER Bicara Santai #DudukRumah

Kenyataan Siti itu disokong Tun Siti Hasmah yang mana menyifatkan muzik atau bermain alat muzik menjadi terapi buat mereka yang berada dalam tekanan.

“Saya setuju apa yang Siti cakap. Muzik terapi untuk orang yang tertekan. Saya galakkan, kalau sudah tertekan sangat, boleh pergi dengar atau main muzik. Sedikit sebanyak ia boleh membantu minda. Nyanyian dan instrumen satu cara untuk menghilangkan tekanan,” katanya.

Pada sesi yang berlangsung selama hampir sejam itu, Siti turut bertanyakan mengenai juadah berbuka puasa kegemaran Tun ketika bulan Ramadan.

Tun Mahathir berkata, makanan kegemarannya adalah cucur udang dan popiah basah.

“Kalau bulan Ramadan, saya suka makan cucur udang dan popiah basah. Apabila pergi bazar, beli banyak dan sampai rumah tak habis. Saya seronok pergi setiap tempat, tengok orang berniaga, maju atau tidak. Memang banyak makanan Melayu. Macam hidangan waktu lain pun kalau ada restoran, saya yakin mereka kejayaan.

“Cuma satu perkara, apa yang saya perasan adalah tidak menjaga kualiti. Kalau nak jamu orang makan di rumah, kita berikan yang terbaik. Tapi, apabila nak jual, cari bahan yang murah dan tidak ada kualiti,” katanya.

IG LIVE Datuk Seri Siti Nurhaliza bersamaTun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah
IG LIVE Datuk Seri Siti Nurhaliza bersamaTun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah

Tun Mahathir juga mengakui sambutan Ramadan kali ini jauh berbeza daripada kebiasaan.

“Terima hakikat puasa tahun ini beza dari biasa. Kita tak boleh berdekatan sebaliknya kena jaga penjarakan sosial. Solat Tewarih pun di rumah saja.

”Majlis berbuka puasa pun tak boleh. Seperti selalu kita akan jemput rakan. Tapi, nak tunaikan puasa tidak ada masalah. Puasa di rumah, makan di rumah, beli barang boleh beli dalam talian apa kita suka.

“Apa pun kita kena syukur. Ada banyak negara lain yang tidak tenang dan berperang. Nak puasa pun susah. Kita lebih baik negara aman. Jadi, kita akur kepada arahan. Amalkan arahan lebih cepat pulihkan keadaan negara kita,” katanya.

Sesi siaran langsung itu mencecah 63,282 tontonan.