Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Sissy Imann berdepan detik mencemaskan apabila terjatuh dari kuda ditunggangnya ketika menjalani penggambaran untuk satu program TV, hari ini.

Sissy menerusi Instagram berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius seperti patah atau retak tulang dan hanya mengalami lebam dan luka-luka.

Bagaimanapun, dia mengakui ia satu pengalaman menyakitkan hingga doktor terpaksa memberi suntikan ubat penahan sakit sebelum melakukan x-ray kerana dia langsung tidak boleh baring.

Menceritakan kejadian itu, Sissy berkata, ketika menunggang di kawasan berbukit, kuda itu berpatah balik sebelum berlari menuruni bukit dengan laju.

“Saya menjerit ketakutan sebelum akhirnya melambung dan terjatuh di bahagian kanan kuda. Mujur tak dipijak kuda,” katanya.

Sissy berkata, itu hari pertama dia menunggang kuda dan mengakui ia pengalaman menakutkan.

“Pada awalnya, saya tak mahu, tapi apabila kuda itu nampak mula mesra, saya bersetuju untuk teruskan.

“Saya sudah ke klinik melakukan x-ray. Doktor maklumkan tak ada tulang yang patah atau retak,” katanya.

Sissy berkata, kejadian itu membuatkan dia trauma dan masih terbayangkan situasi yang berlaku.

“Sekarang saya berehat di rumah. Nak jalan pun perlu dipapah dan nak baring pun sakit. Ia buat saya rasa trauma dan setiap kali saya pejam mata, saya akan terbayang situasi dan perasaan ketika itu,” katanya.

Katanya, dia melihat apa yang berlaku sebagai kekuatan untuk dia terus bekerja lebih kuat lagi.

“Apa yang berlaku mengingatkan saya bahawa saya adalah orang yang kuat dan dapat berdepan ketakutan saya hari ini. Saya sudah melepasi sesuatu yang saya tak sangka saya akan buat. Terima kasih Allah untuk peringatan ini,” katanya.

Di Instagram, Sissy turut berkongsi gambar hasil x-ray dan gambarnya bersama kuda yang ditunggang.