FILEM bercorak politik sering kali memaparkan jalan cerita yang pasti membuka perspektif baru buat penonton.

Terutama buat penonton yang kurang ilmu mengenai politik, pendedahan itu sedikit sebanyak memberi mereka gambaran bidang kritikal itu.

Hakikatnya, filem genre politik thriller yang dihasilkan penerbit antarabangsa kerap disuntik dengan kreativiti luar jangkaan.

Contohnya filem V For Vendetta arahan James McTeigue pada 2005 hingga sekarang masih diingati.

Terbaru, iflix pula bakal tampil dengan filem bergenre sama menerusi Daulat yang diarahkan Imran Sheik.

Sentuhan pengarah muda tempatan itu pastinya mengujakan apalagi mengambil kira daripada sudut perspektif generasi baru.

Imran berkata, dia menjangkakan filem itu mampu meninggalkan impak tersendiri apatah lagi segelintir warganet sudah ternanti-nanti untuk menontonnya.

“Trailer Daulat pernah menjadi tular dan mendapat maklum balas positif daripada warganet yang kebanyakannya adalah peminat tegar filem tempatan.

“Dari situ kami dapat kenal pasti bahawa Daulat mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan penonton tempatan.

“Memandangkan iflix adalah platform penstriman yang berjaya mengangkat industri filem dan drama tempatan, Lacuna Pictures dan iflix mahu menyajikan rakyat Malaysia dengan naskhah itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tidak dinafikan, filem ini memiliki kelebihan dari segi barisan pelakon yang menjayakannya.

FILEM Daulat arahan Imran Sheik ditayangkan percuma di iflix.
FILEM Daulat arahan Imran Sheik ditayangkan percuma di iflix.

Nama-nama besar yang membintanginya termasuklah Vanidah Imrah sebagai Suri, Rashidi Ishak (Idrus) dan Tony Eusoff (Hassan).

Tiga nama ini saja sudah cukup kuat untuk menarik penonton melihat sendiri pembawaan karakter mereka dalam naskhah ini.

Hakikatnya, pemilihan mereka jelas sangat tepat dengan reputasi serta profil mereka yang membanggakan.

Tidak ketinggalan, penampilan Cristina Suzanne sebagai Nadiya Hassan, Jasmine Suraya (Jasmin Cho) dan Zul Zamir (Ali Fahim) juga menyerikan filem itu.

Sebagai antara pelakon generasi baharu, kredibiliti mereka juga diakui bagus.

Semestinya pemilihan itu sangat penting terutama filem politik memerlukan ciri atau karisma khas yang bertepatan dengan setiap watak.

Ini disebabkan, naskhah sebegitu rata-rata menggunakan nada yang serius.

Daulat bakal ditayangkan secara eksklusif dan percuma bermula 6 April ini di iflix.com.

Filem yang bertaraf global itu memaparkan sisi gelap dunia politik semasa dan pelbagai konflik berkaitan pemerintah berkuasa.

Menurut Imran, banyak sisi menarik mengenai dunia politik bakal dirungkai dalam naskhah terbabit dan wajib tonton.

“Menerusi Daulat, penonton akan menjadi lebih terbuka dan matang untuk menilai sendiri setiap tanggung jawab yang perlu dipikul ahli-ahli politik yang sering menjadi cerita sensasi di laman sosial.

“Kami turut berbangga kerana menjadi antara produksi yang menayangkan hasil filem tempatan secara percuma buat rakyat Malaysia menerusi platfom iflix,” katanya.