Kuala Lumpur: Perkenalan dengan Wan Hasri menerusi adiknya, Ashira membawa penyanyi Shasha Syed Aziz ke jenjang pelamin buat kali ketiga.

Shasha, 44, atau nama sebenarnya Sharifah Nur Airin Syed Abdul Aziz dan Wan Hasri Mior Che Tarmizi, 44, melangsungkan perkahwinan pada jam 2 petang, Isnin lalu.

Shasha yang pernah muncul dengan album berjudul Sehelai Daun Setitis Embun terbitan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pada 1993 berkata, majlis pernikahan berlangsung secara dalam talian di rumah dengan pendaftar nikah/kahwin kariah Masjid Sri Muda, Shah Alam.

“Syukur semuanya berlangsung dengan baik. Memang saya tak fikir akan berkahwin lagi memandangkan usia sudah mencecah 44 tahun.

“Anak-anak pun sudah besar, jadi tanggungjawab untuk mencari nafkah itu hanya atas diri sendiri . Namun alhamdulillah mereka ada juga menghulurkan duit belanja” katanya yang pernah dikenali dengan Sehelai Daun Setitis Embun ciptaan Allahyarham Adam Ahmad.

Perkahwinan pertamanya ketika berusia 18 tahun dengan pemain dram XPDC, Lola hanya bertahan selama lima tahun dan dikurniakan dua anak perempuan.

Menerusi perkahwinan kedua, Shasha dikurniakan lima anak iaitu empat lelaki dan seorang perempuan.

Shasha berkata, dia kini aktif menyanyi di platform Mico dan perkenalan dengan suaminya bermula di situ.

Adiknya, Ashira yang juga penyanyi dan bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang memperkenalkan Wan Hasri kepadanya.

Shasha berkata, perwatakan Wan Hasri yang memahami dan sangat merendah diri membuatkan dirinya tertarik untuk mengenalinya lebih jauh.

“Dia mula meluahkan isi hatinya dan mengakui mula meminati saya sejak kali pertama Ashira memperkenalkan kami semasa saya berada dalam ‘live streaming’ Ashira di Mico.

“Mungkin kerana usia kami sama atau kerana pengalamannya sendiri membuat dia lebih matang dalam membina rumah tangga bersama.

“Saya inginkan kebahagiaan sehingga akhir hayat. Kami berdua banyak persamaan selain mempunyai minat dan kegemaran yang sama. Kami saling menghormati setiap keputusan dan dapat mencapai kata sepakat,” katanya yang masih aktif menyanyi di Mico.