MASA terluang di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini memberikan banyak peluang dan ruang buat selebriti untuk melakukan pelbagai perkara.

Bagi penyanyi, Shalma Eliana, dia juga menggunakan ‘tempoh berkurung’ ini dengan sebaik mungkin bagi meneroka kemampuan dirinya.

Menurut penyanyi yang juga kekasih kepada penyanyi Ismail Izzani ini, inilah masanya untuk dia berikan tumpuan penuh kepada pelajaran.

“Kalau nak diikutkan, memang rasa sedih juga kena berkurung di dalam rumah. Tapi, apabila difikirkan semula ini adalah untuk kebaikan dan keselamatan semua pihak.

“Untuk saya, saya gunakan masa yang ada untuk fokus kepada kerja berkaitan pelajaran kerana walaupun bercuti, pelajaran tak boleh diketepikan,” katanya.

Selain itu, Shalma juga meneroka media sosial sekali gus mengurangkan rasa bosannya.

“Saya yakin, ramai dalam kalangan kita yang banyak menghabiskan masa di media sosial. Begitu juga dengan saya. Apabila dah penat belajar, saya akan habiskan waktu di media sosial.

“Selain itu, saya juga sentiasa pastikan tubuh badan saya berada dalam keadaan sihat. Jadi, saya kerap juga lakukan senaman ringan yang boleh dilakukan di dalam rumah,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Mahukah Kamu itu, ini juga masanya untuk kita semua meneroka bakat yang ada dalam diri.

“Banyak perkara baru yang kita boleh cuba sepanjang tempoh PKP ini. Mungkin ada bakat terpendam dalam diri kita yang belum kita terokai.

“Contohnya, ada yang menghabiskan masa dengan belajar memasak. Jadi, tak cuba, tak tahu kan?” katanya.

Bercerita mengenai karier seninya, Shalma memaklumkan dia sepatutnya ke Kedah untuk menjayakan satu acara persembahan di sana.

“Ada beberapa acara persembahan yang ditangguhkan buat sementara waktu. Antaranya, saya sepatutnya ke Kedah untuk membuat persembahan, namun disebabkan penularan Covid-19 ini, semuanya ditangguhkan.

“Setakat ini, syarikat rakaman Universal Music Malaysia belum memaklumkan apa-apa lagi mengenai tarikh tunda dan sebagainya. Jadi, saya serahkan semuanya kepada mereka untuk susun,” katanya.

SHALMA kerap lakukan senaman ringan untuk sentiasa sihat.
SHALMA kerap lakukan senaman ringan untuk sentiasa sihat.