PENYANYI Shahir Zawawi mengakui keadaan kesihatannya masih belum pulih selepas mengadu demam teruk dan diminta balik ke rumah ketika mahu mendapatkan rawatan di sebuah hospital baru-baru ini.

Shahir dihubungi bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai keadaannya sama ada sudah mendapatkan rawatan atau belum dari mana-mana pusat kesihatan.

“Mohon maaf, saya masih belum sihat,” balasnya menerusi kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.

Beberapa hari lalu, Shahir ada berkongsi sebuah video di Instagram memgenai dirinya diarahkan pulang sewaktu cuba mendapatkan rawatan di hospital terbabit sekitar tengah malam.

Dalam video itu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu menjelaskan dia kecewa apabila tidak dibenarkan berjumpa doktor sebaliknya diminta datang semula pada keesokkan hari.

Shahir kemudian tampil memohon maaf menerusi sebuah video lain atas tindakannya dan menjelaskan mengapa dia berbuat demikian.

“Minta-maaf, saya bukannya cuba mencari publisiti dan saya bukan orang jenis begitu. Saya cuma terpanggil membuat video itu untuk kebaikan orang lain.

“Saya takut ramai lagi insan di luar sana yang memerlukan bantuan perubatan tapi tidak dilayan. Saya keluar meminta bantuan rawatan disebabkan badan sudah lemah selepas demam tiga hari.

“Saya bukan keluar suka-suka untuk pergi bersukaria pada tengah malam. Saya sebaliknya risau benda buruk akan terjadi pada diri memandangkan tinggal sendirian,” katanya dalam video itu.

Shahir juga sempat menyeru kepada kakitangan pusat perubatan untuk bertolak ansur dan lebih mengambil berat kepada pesakit yang memerlukan bantuan rawatan kecemasan.

“Saya menyerah diri untuk mendapatkan rawatan seperti mana yang disuruh kerajaan disebabkan mengalami simptom demam. Jika kakitangan sibuk, saya faham,” katanya.