SEBUT sahaja nama aktres jelita, Jang Na-ra sudah pasti bakat lakonannya tidak asing lagi pada kalangan penggemar drama Korea di negara ini.

Tanpa sebarang kisah sensasi Jang Na-ra yang cukup popular dengan drama Successful Story of a Bright Girl pada 2002, kini terus memacu populariti dalam kerjaya di atas paksi nama dan bakatnya.

Masih lagi solo, Jang Na-ra juga berwajah muda meski usianya kini menjengah 40 tahun. Baginya untuk urusan jodoh, mungkin belum berpihak buatnya lagi.

Apapun, terus cemerlang dalam karier lakonan Jang Na-ra akan muncul dalam satu atau dua naskhah drama setiap tahun dengan watak agak mencabar dan menarik.

Pada tahun lalu, Jang Na-ra tampil dengan drama Oh My Baby bersama pelakon Goo Joon yang mengetengahkan kisah pasangan kekasih lewat usia berhadapan masalah kesuburan untuk memiliki zuriat.

Bagi naskhah terbaharu kali ini, Jang Na-ra bergabung pula dengan anggota CNBLUE, Jung Yong Hwa menerusi drama Daebak Real Estate arahan Park Jin-Suk untuk tayangan di KBS2.

Memetik laporan media tempatan, Jang Na-ra menerima tawaran drama itu kerana jalan cerita dan watak dibintanginya. Dia melakonkan watak ketua ladang, Hong Ji Ah.

“Karakter ini agak menarik bagi saya kerana di sebalik paras jelita dan bijak dalam mengendalikan urusan kerjanya, Hong Ji Ah juga terlalu teliti, pantas bertindak tetapi, seorang yang tak mampu mengawal kamarahan diri.

“Satu cabaran untuk saya nak jadi panas baran. Ia jauh berbeza dengan sikap dan personaliti sebenar diri saya. Jadi, saya harus menerima karakter Hong Ji Ah ini sebagai cabaran baharu,” katanya.

Berganding dengan Jung Yong Hwa juga pengalaman baru buat Jang Na-ra. Katanya, dia teruja meski tidak memilih siapa pelakon lelaki yang akan beraksi dengannya. Katanya, yang penting keserasian dan keselesaan watak.

“Apabila tahu bakal berlakon dengan Jung Yong Hwa, saya okay sahaja. Lagi pun, dia sangat dikenali dan ada ramai peminat kerana menganggotai CNBLUE. Untuk saya, yang pasti kami boleh bekerjasama dengan baik.

“Namun, semoga drama Daebak Real Estate ini diterima baik penonton dan mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan. Sebagai pelakon, saya berusaha memberi lakonan yang mantap,” katanya.

Untuk watak Jung Yong Hwa pula, dia berlakon sebagai Oh In Bum yang bekerjasama dengan Hong Ji Ah merungkai misteri kejadian yang pernah berlaku di ladang berkenaan sekitar 20 tahun lalu.

Sepanjang pembabitan dua dekad Jang Na-ra dalam kerjaya seni bermula 2001, dia cukup dikenali dengan drama seperti Fated to Love You, Go Back Couple, The Last Empress, VIP dan banyak lagi, serta meraih pelbagai anugerah Pelakon Wanita Terbaik.