WALAUPUN tiada kedai gunting rambut dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ia tidak menjadi masalah buat pengacara popular, Awal Ashaari apabila isterinya yang juga pelakon, Scha Alyahya bertindak sebagai tukang gunting.

Perkara itu dikongsi Awal menerusi sesi siaran langsung di Instagram semalam yang ditonton puluhan ribu peminat.

Scha berkata, dia mengambil masa tiga jam untuk menggunting rambut Awal seperti diinginkan.

“Ini saja pilihan yang ada. Dia kena percayakan saya dan baru boleh buat. Berdiri dari jam 8.30 hingga 11.30 malam. Rambut Awal pula jenis tebal. Walaupun tidak sekemas dan sempurna seperti gunting di kedai, tapi saya berjaya. Hasilnya pun okay. Terima kasih pada Bambang Soteto yang turut memberi tutorial secara ‘live’ di Instagram,” katanya.

Awal yang berkongsi hasil tangan Scha itu mendapat pujian daripada peminat dan rakan artis. Malah, Bambang yang juga tukang gunting profesional turut memuji hasil tangan Scha.

“Secara jujur, awak memang ada ‘tangan’ untuk potong rambut. Tangan awak tak ‘pengkau’,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan